
Resepi Kek Chiffon Pandan Tanpa Guna Ovalette
Alhamdulillah, siap dah kek chiffon pandan orang lama tanpa guna ovalette. Kek chiffon pandan biasanya sedap dan wangi bila menggunakan daun pandan segar dan pati santan. Resepi saya terjemahkan dan olah dari blog “I eat, I shoot, I post”.
Bahan Bahagian A:
- 6 biji kuning telur
- 100 gm gula castor
+ Pukul hingga kembang.
Dalam bekas lain, satukan;
- 140 ml santan
- 115 ml minyak jagung
- 2 sudu besar pati daun pandan (Saya blend 8 helai daun pandan dengan 1 sudu besar air – perah)
- 2 sudu kecil esen vanila
- 1/2 sudu kecil esen pandan
- 1/2 sudu kecil garam
+ Kacau rata semua bahan ini dan masukkan dalam adunan kuning telur. Pukul rata.
Ayakkan;
- 180 gm tepung gandum
- 20 gm tepung jagung
- 2 sudu kecil baking powder
+ Gaul bahan ini ke dalam adunan kuning telur tadi. Kacau hingga tidak berbintil.
Bahan B:
- 9 putih telur
- 1 sudu teh jus lemon
- 100 gm gula castor
Cara Membuat:
1. Pukul putih telur hingga berbuih. Masukkan jus lemon, pukul hingga kembang. Masukkan gula sedikit demi sedikit hingga habis. Teruskan memukul hingga putih telur bertanduk.
2. Fold kan 1/3 adunan putih telur ke dalam adunan pandan. Aduk dengan berhati-hati. Masukkan 1/3 lagi putih telur, aduk – ulang hingga habis putih telur. Aduk dengan lembut hingga tak nampak lagi alur-alur putih telur.
3. Masukkan adunan dalam loyang kek chiffon 10 inci. Loyang jangan diminyakkan. Bakar 55 minit pada suhu 170 darjah C. Letakkan loyang pada bahagian paling bawah oven. Selepas 30 minit, letakkan aluminium foil di atas kek untuk memastikan kek tidak merekah akibat haba bahagian atas oven.
4. Selepas 55 minit, keluarkan dari oven dan terbalikkan loyang supaya kek tergantung dan tidak kempis. Biarkan kek betul-betul sejuk baru dikeluarkan.
Resepi Oleh: Ummu Ashraf