Resipi Kek Coklat Kukus Moist Memang Mudah
Siapa yang boleh tolak sepotong Kek Coklat Kukus yang hitam pekat, teksturnya sangat lembap (moist), dan penuh dengan rasa coklat yang kaya? Ini adalah antara pencuci mulut paling “malas” tetapi paling digemari sepanjang zaman kerana peratusan untuk menjadi sangat tinggi!
Menariknya, anda tidak perlukan ketuhar (oven) atau mixer yang canggih untuk membuat kek ini. Hanya guna whisk tangan atau blender di rumah pun dah cukup untuk hasilkan kek coklat yang meletop dan cair di mulut!
Kenapa Versi Kukus Lebih ‘Moist’ Berbanding Bakar? Ramai yang tertanya-tanya, kenapa kek coklat lebih sedap kalau dikukus?
Kelembapan Terjaga – Proses mengukus menggunakan wap air sepenuhnya, jadi kelembapan di dalam adunan kek tidak akan kering. Ini berbeza dengan kaedah membakar yang cenderung menarik keluar kelembapan kek jika dibakar terlalu lama.
Tekstur Yang Lebih Padat & Lembut – Kek kukus biasanya menghasilkan tekstur yang lebih fudgy, berat, tetapi dalam masa yang sama kekal lembut apabila digigit.
Jom cuba buat Kek Coklat Moist oleh Emmy Sakura ni.
Bahan-Bahan (2 adunan):
- 2 cawan serbuk koko
- 2 cawan gula
- 2 cawan minyak jagung
- 1 tin susu cair
- 1 tin susu pekat manis
- 8 biji telur (gred A/B)
- 2 cawan tepung gandum
- 2 sudu kecil soda bikarbonat
- 2 sudu kecil baking powder
- 1 sudu kecil garam
- 2 sudu kecil esen vanila
Cara Penyediaan:
1. Blend bahan telur; Masukkan telur, gula, esen vanila dan garam ke dalam blender. Kisar sehingga adunan menjadi kembang dan berwarna krim pucat.
2. Sediakan bahan kering; Dalam bekas berasingan, ayak tepung gandum, serbuk koko, baking powder dan soda bikarbonat. Ketepikan.
3. Campur bahan basah; Dalam bekas besar, tuangkan adunan telur yang telah dikisar bersama minyak jagung, susu cair dan susu pekat manis. Gaul sebati.
4. Satukan adunan; Masukkan bahan kering sedikit demi sedikit ke dalam bahan basah. Kacau perlahan menggunakan whisk atau spatula sehingga adunan sebati dan tidak berketul.
5. Proses mengukus; Sapukan marjerin atau mentega pada loyang/bekas tahan panas. Tuang adunan ke dalam loyang. Kukus selama 45 minit atau sehingga masak (bergantung pada saiz loyang).
6. Sejukkan kek; Biarkan kek sejuk pada suhu bilik sebelum diletakkan topping.
Bahan Chocolate Ganache (Topping):
- 2 paket coklat masakan (±200g setiap satu)
- 2 kotak whipping cream (±200ml setiap satu)
- 2 sudu makan mentega/marjerin
Cara Penyediaan:
7. Panaskan whipping cream (jangan sampai mendidih). Masukkan coklat masakan dan biarkan seketika hingga cair. Kacau sehingga licin dan berkilat. Tambahkan mentega/marjerin dan gaul sehingga sebati. Tuang ke atas kek yang telah sejuk.
Nota:
Rahsia Kek Coklat Anda Menjadi Sangat ‘Moist’ & Hitam Menawan
Untuk memastikan kek coklat anda tidak kering atau rasa tawar, ini rahsia yang wajib anda tahu;
- Gunakan Serbuk Koko Berkualiti – Warna hitam pekat dan rasa coklat yang “mahal” datangnya daripada jenis serbuk koko yang anda gunakan. Pilih serbuk koko jenis alkalized atau Dutch-processed untuk warna yang lebih gelap dan rasa yang kurang asid.
- Sentuhan Kopi (Ejen Rahsia) – Tambahkan satu sudu kecil air kopi pekat atau serbuk kopi segera ke dalam adunan. Jangan risau, kek anda tidak akan rasa kopi, tetapi kopi bertindak sebagai penegas yang akan menaikkan lagi rasa coklat ke tahap maksimum!
- Gunakan Minyak Masak, Bukan Mentega sepenuhnya: Untuk kek coklat versi kukus, penggunaan minyak masak (seperti minyak jagung atau minyak sayuran) akan membuatkan kek kekal lembap walaupun selepas disimpan di dalam peti sejuk, berbanding mentega yang cenderung mengeras bila sejuk.
Tips Penting Semasa Proses Mengukus
- Air Kukusan Betul-Betul Mendidih – Pastikan air di dalam periuk kukus sudah mendidih kuat sebelum anda memasukkan loyang kek. Jika dimasukkan awal, kek mungkin tidak akan naik dengan cantik.
- Balut Penutup Periuk Kukus – Ini adalah langkah paling wajib! Balut penutup periuk dengan kain bersih atau tuala tebal. Jika wap air menitis di atas permukaan kek, ia akan menyebabkan permukaan kek menjadi berair, berlubang-lubang, dan tidak licin.
- Guna Api Sederhana – Kukus menggunakan api sederhana sahaja. Api yang terlalu besar akan menyebabkan kek naik terlalu mendadak dan kemudian mengecut atau merekah di tengah.
Peminat Kek Kukus Boleh Cuba Kek Kukus Moist Ni >> KEK KUKUS MOIST

Resipi Oleh: Emmy Sakura


