Resipi Ibu Sambal Klasik Cili Boh

Resipi Ibu Sambal Klasik Cili Boh

Tunaikan lagi permintaan kawan-kawan yang nak tahu resipi Ibu Sambal Klasik Cili Boh masa cikgu tunjuk cara masak mudah Mi Goreng Lejen. Olahan resipi ringkas sahaja. Pastinya ikut gaya Mok buat sambal klasik citarasa pencinta selera masakan kampung. Cikgu suka rasa sambal begini sebab tak muak. Tiada sebarang penambahan sos dimasukkan.

Kalau ada stok sambal ini dalam peti maka keraplah berulang menu kegemaran dari kecil cikgu suka makan iaitu sambal telur. Sampailah sekarang cikgu terlajak suka. Silalah cuba ya. Cikgu yakin kawan-kawan di sini pun berminat juga nanti. Alhamdulillah. Jom tengok cara cikgu buat Ibu Sambal Klasik Cili Boh ni.

Sediakan Bahan Kisar:

  • 1/2 biji bawang holland
  • 4 biji bawang merah (Kalau kecil gandakan)
  • 3 ulas bawang putih

Bahan Lain:

  • 4 senduk cili boh
  • 1 1/2 mangkuk minyak
  • Sekeping nisse @ gula melaka (cikgu guna yang pasaran biasa di sini sebab stok dari Kelantan dah lama habis)
  • 1/3 sudu kecil garam
  • 2 sudip nipis gula
  • 1 sudu kecil perisa
  • Sedikit asam jawa
  • 1 sdb cuka

Cikgu tak letak belacan, udang kering atau ikan bilis sebab untuk resipi ibu sambal klasik macam Mok buat bahannya ringkas sahaja. Nak letak takda masalah. Terpulang atas cara kalian suka.

Cara Membuat:

1. Panaskan 1 1/2 mangkuk minyak. Tumis bahan kisar dengan sedikit air sahaja hingga lumat. Biar kira-kira 8 minit atau sehingga kekuningan dan naik bau. Kacau-kacau. Masukkan sebanyak 150g atau 4 senduk cili boh atau cili kering kisar. Kacau sesekali selama 8 minit juga untuk biarkan cili ini masak betul dan pecah minyak.

2. Seterusnya, bolehlah masukkan bahan perasa seperti gula melaka, garam, gula pasir, dan serbuk perasa mengikut sukatan atau terpulang pada citarasa sendiri. Letak juga dua cubit asam jawa. Untuk cara Mok buat sambal klasik begini juga letak cuka sebanyak 1 sudu besar.

3. Kacau lagi sesekali selama 10 minit menggunakan api perlahan sahaja sebelum ditutup apinya. Cikgu tak letak air untuk proses ibu sambal ni. Waktu nak olah semula masak pelbagai jenis lauk barulah tambah sedikit ya. Nah siaplah Ibu Sambal Klasik Cili Boh yang sedap secukup rasa.

4. Selepas disejukkan bolehlah simpan dalam bekas sikit-sikit begini. Untuk penggunaan habis dalam tempoh terdekat lebih kurang seminggu lebih boleh letak kat ruang chiller biasa. Selanjutnya bekukan.

Bolehlah makan menu kegemaran telur dadar sambal dengan lebih kerap. Ni cikgu letak sekali ikan bilis goreng. Nak buat goreng bihun ringkas pun boleh. Ringkas sebab cikgu tak letak sayur. Kalau pecahkan telur pun dah sedap masak bihun goreng warna macam ni. Semoga bermanfaat. Selamat mencuba.

Boleh Cuba Sambal Minang Ni. Pedas dan Sedap Juga >> KLIK DI SINI

Resipi Ibu Sambal Klasik Cili Boh

Resipi Oleh: Afy AL Habibi