
Cara Masak Sambal Telur Ceplok atau Pecah
Semalam masak Sambal Tumis Ikan Bilis Rangup. Tengah hari ini kita buat Sambal Telur Ceplok/Pecah pula. Biasanya, kalau masak sambal akan buat lebih sikit sebab renyah nak siang dan rebus cili kering berulang kali. Kita masak sambal untuk 2 atau 3 jenis masakan sekali gus. Kemudian, masukkan ke dalam bekas asing-asing dan simpan dalam peti sejuk. Kalau nak guna tinggal panaskan dan tambah apa-apa yang kita suka. Kalau masukkan ayam goreng, jadi sambal ayam, kalau masuk ikan goreng jadilah sambal ikan, kalau tambah telur, jadilah sambal telur. Kalau udang, sambal udang, kalau sotong, sambal sotong dan sebagainya. Jimat masa dan tenaga kan?
Bahan-Bahan:
- 2 genggam cili kering buang biji dan rebus hingga kembang.
- 2 biji bawang besar (1 kisar 1 hiris)
- 3 ulas bawang putih
- 1 genggam ikan bilis
- 1 potong asam keping
- 5 biji telur
- Garam, gula dan perasa secukupnya.
- Minyak untuk menumis dan mengisar cili.
Cara Memasak:
1. Cili, bawang, ikan bilis dikisar hingga halus (masukkan sedikit minyak semasa mengisar untuk melumatkan biji cili). Tumis bahan kisar hingga pecah minyak. Masukkan air, asam keping, garam, gula dan perasa secukupnya ikut cita rasa masing-masing.
2. Sambal biar cair sedikit supaya telur cepat masak. Biarkan mendidih baru masukkan telur sebiji demi sebiji. Tabur hirisan bawang besar dan kacau-kacau manja. Siap dan boleh hidang. Selamat mencuba.
Nota: Untuk sambal tumis ikan bilis rangup, guna bahan dan cara yang sama tetapi masukkan ikan bilis goreng setelah sambal betul-betul masak.
Resepi Oleh: Bonda Zalina Amat Rosman