Resipi Tofu Telur Goreng Pedas Berlada

Resipi Tofu Telur Goreng Pedas Berlada

Sementara tinggal beberapa hari lagi kita mc dok rumah ni, kita masak simple-simple lagi. Nak masak beria, badan tak kuat sangat lagi. Tangan pun belum kuat sepenuhnya. Jadi, hari ni saya nak share resepi mudah dan yang penting sedap!.

Sesuai juga untuk jadi menu orang nak diet walau dah berpuluh tahun azam kita nak kurus ni tak jumpa jalan lagi. Tapi, teruslah kekal istiqamah walaupun kita selalu ke laut dalam. Saya tak tahu nak bagi nama apa masakan ni. Ikut dan aja buat semalam untuk menu berbuka. Jadi saya bagi ajalah ye namanya Tofu goreng berlada? Ke tofu goreng pedas? Ikutlah suka kau orang nak letak nama apa.

Oklah, sebelum kita nak masak, mari kita sediakan bahan.

Bahan-Bahan:

  • Tofu telur – 3 @ 4 tube
  • Tepung goreng pedas – secukupnya
  • Daun bawang – 2 @ 3 batang
  • Bawang putih – 5-6 ulas (cincang lumat)
  • Chili flakes – 1 sudu besar
  • Oyster sauce – 1 sudu besar
  • Kicap manis – 4 sudu besar
  • Kicap masin – 1 sudu besar
  • Gula – 1 sudu kecil
  • Chicken stock – 1/4 sudu kecil

Cara Memasak:

1. Ok. Mula-mula hiris daun bawang halus-halus. Asingkan bahagian batang yang putih tu sebab nanti kita nak tumis mula-mula dengan bahagian tu. Tofu tu kalau macam aku ni haa tak makan nasi, 3 tube cukup dah nak makan untuk 2 orang. Tapi, kalau jenis yang asyik berzikir nak kurus tapi hobinya makan, eloklah buat 4 tube. Risau karang dia berzikir tak cukup makan pulak.

2. Aku potong 1 tube tofu ni dapatlah 10pcs. Ikut kau orang lah nak potong tebal mana. Sediakan tepung goreng spicy. Kalau tak suka pedas, guna aja tepung apa-apa yang rasa kau orang nak guna. Nak guna corn starch boleh, tepung bistari boleh. Macam aku ni guna tepung bon chef yang pedas tu. Buat 2 bahagian. 1 yang cair dan 1 yang kering. Yang cair tu aku bancuh 1 sudu besar aja tepungnya dengan air sejuk coway.

3. Mula-mula celup dekat bancuhan tepung cair ni. Lepas tu salut aja dengan tepung kering pula. Sambil tu dah boleh panaskan kuali. Minyak tak perlu banyak ye. Kita tak nak dia tenggelam. Cukup banyak tu. Kata nak buat makanan sihat kan. Ok, goreng sampai perang gitu. Dah boleh angkat. Ulang sampai habis kau orang punya tofu tu.

4. Ok. Dah siap goreng semua tofu, kita nak tumis dah. Bawang putih ni aku memang buat macam paste ni sendiri. Sekali buat 1 kg, lepas tu simpan dalam fridge. Berbulan boleh tahan. Ok, masukkan bawang putih yang kau orang dah chopped kasar tadi. Kalau guna macam aku ni, ambil terus 1 sudu besar. Lagi banyak bawang putih, lagi sedap.

5. Masukkan sekali daun bawang bahagian putih tu. Tumis sekali. Masukkan chili flakes 1 sudu besar. Kalau kau orang memang jenis suka pedas ya ampun tu, bolehlah tambah letak cili api.

6. Masukkan 1 sudu besar oyster sauce, 1 sudu kecil gula, 4 sudu besar kicap manis, 1 sudu besar kicap masin dan 1/4 sudu kecil chicken stock. Kita tak letak dah garam ye sebab dah ada oyster sauce dan kicap tu yang buatkan rasa masin tu. Dah masukkan semua bahan ni, kacau sebati.

7. Dah boleh masukkan tofu goreng kita tadi dan kacau sebati. Masukkan juga daun bawang dan tinggalkan sikit daun bawang untuk kita nak tabur atas dia nanti. Dah siap! Taburkan daun bawang yang kita simpan sikit tadi. Nampak sedap kan? Memang sedap! Tak makan nasi pun boleh kenyang makan ni aja. Dah boleh makan. Selamat mencuba semua!.

Boleh Cuba Sambal Hijau Minang Ni Juga, Memang Sedap Rasanya >> KLIK DI SINI

Resipi Tofu Telur Goreng Pedas Berlada

Resipi Oleh: Wan N Wan M