Resepi Pulut Udang Inti Berempah Warisan Nenda
Akhirnya jadi juga Pulut Udang ku, dulu nak makan mak yang buat kita tengok ja. Sekarang kena buat sendiri laaa, obses sangat dengan “The Little Nyonya” so akak letak bunga telang bagi colour sikit. Alhamdulilah semua cakap sedap, resepi kat bawah ya. Kalau banyak, kurangkan separuh sebab akak buat inti banyak nanti boleh buat inti cucur badak pulak kan.
Pulut Udang/Rempah Udang Resepi Nenda
Bahan-Bahan:
- 1 kg Pulut susu (direndam 3 jam)
- 2 cawan santan pekat
- 2 biji kelapa Parut disangai sekejap (jangan kering sangat ya)
- 1 mangkuk udang kering (basuh & rendam sampai kembang)
- 1 mangkuk kecil udang basah (boleh lebihkan kalu nak)
- 15 biji cili kering (kalu nak pedas lebihkan)*
- 5 batang serai*
- Seinci Halia*
- 2 ketul kecil lengkuas muda*
- 2 ketul kunyit hidup*
- 1½ biji bawang besar*
- 13 ulas bawang merah*
- 3 ulas bawang putih*
- 1 sudu besar ketumbar biji*
- 1 sudu besar jintan manis*
- 4-6 kuntum bunga Telang (direbus amik airnya)
- Gula Melaka, Secukup Rasa & Garam
- 1 mangkuk kecil minyak masak
- Daun Pisang & Pencungkil gigi
Cara Membuat:
Inti Kelapa –
1. Blend bahan bertanda (*) dengan air rendaman udang kering sehingga halus (kalu rajin boleh tumbuk lagi sedap). Kemudian tumis sehingga pecah minyak, masukkan udang kering yang telah diracik-racik ya jangan blend serta gula melaka garam dan perasa.
2. Masukkan kelapa yang telah disangai tadi dan masak hingga kering tapi jangan terlalu kering ya. Inti kelapa mesti ada rasa pedas masin dan manis baru sedap.
Masak Pulut –
3. Toskan pulut dan kukus dalam 20 minit, jangan lupa letak daun pandan sikit dan pastikan pulut masak sekata ya, kacau-kacau bagi rata.
4. Untuk santan serta 2 helai daun pandan pula, dikacau sekejap atas api sehingga naik wap. Jangan lupa masukkan 1 sudu besar gula dan 1 sudu besar garam ke dalam adunan santan. Santan kena ada rasa masin baru nanti pulut kita bangkit lemaknya.
5. Pulut yang masih panas digaul dengan adunan santan tadi sehingga sebati, kemudian curahkan air bunga Telang di atas pulut dan kukus lagi selama 10 minit.
Cara Balut Pulut Udang –
6. Daun pisang dilayur dulu sebelum dipotong ikut saiz yang dikehendaki. Sapu daun dengan minyak (akak guna minyak jagung) dan letakkan pulut serta inti. Kemaskan daun dan semat dengan pencungkil gigi yang telah dikerat dua. Boleh rujuk gambar ya (boleh juga kalau nak stappler tapi akak tak suka).
7. Bila siap boleh bakar, mak dulu bakar guna arang tapi akak bakar atas dapur gas ja alas tudung periuk. Boleh guna oven juga kalau nak guna api atas bawah suhu 160⁰c. Bakar bagi agak-agak garing kulit daun pisang, biar kena pulut dalam sebab kalu pulut tak garing tak sedap juga ikut selera masing-masing lah ya.
Resepi Oleh: Siti Aisyah Puteh