Daging, Sup

Sup Tulang Merah Makan Dengan Mantao Kosong

sup-tulang-merah-makan-dengan-mantao-kosong

Sup Tulang Merah Makan Dengan Mantao Kosong

Assalamualaikum wbt sahabat, sekadar ingin berkongsi resepi istimewa yang saya masak hari ini untuk santapan kami sekeluarga. Sup Tulang Merah yang saya dan keluarga makan bersama Plain Mantao yang digoreng. Kebetulan minggu lepas beli 3.5 Kg Tulang Gearbox Kambing di Pasar Larkin, JB untuk dibawa pulang ke Bangi. Hari ini ada masa terluang untuk saya masuk dapur dan masak menu istimewa ini. Resepi dan cara masak adalah seperti berikut jika anda ingin mencubanya.

Bahan Utama:

  • 3.5 Kg Tulang Gearbox Kambing – Dilumur/direndam bersama Tepung Gandum anggaran 1/2 Jam. Bilas dan cuci bersih. Rebus bersama 2 inci Halia Muda dan Rempah 4 Sekawan hingga 1/2 empuk. Teruskan merebus dengan memasukkan;
  • 2 Batang Celery yang dihiris kasar, 2 Batang Carrot yang dipotong kasar serta 2 helai Daun Salam. Rebus sehingga daging 3/4 empuk.

Bahan Kisar:

  • 10-15 Tangkai Cili Kering Kerinting
  • 5 Tangkai Cili Kering Gemuk
  • Kisar halus bersama 4-5 Sudu Makan Minyak Masak

Bahan Tumbuk:

  • 5 Ulas Bawang Putih
  • 2 inci Halia Muda
  • 5-6 Biji Buah Keras
  • Tumbuk kasar

Bahan-Bahan Lain:

  • 5 Labu Bawang Besar dihiris nipis
  • Serbuk Rempah Kurma Adabi – 1 peket kecil
  • Serbuk Rempah Sup Adabi – 1 peket kecil
  • Rempah 4 Sekawan – serba sedikit
  • Gula Melaka – 1 keping
  • Gula Perang – 1 Sudu Makan
  • Sos Cili Kimball – 5 Sudu Makan
  • Sos Tomato – 5 Sudu Makan
  • Cili Besar Hijau – 5 Tangkai dibelah-belah
  • Tomato Puree Kimball – 5 Sudu Makan
  • Garam Secukupnya
  • Minyak Sapi- 2 Sudu Makan
  • Daun Bawang & Daun Sup – hiris halus atau kasar ikut kesukaan
  • Bawang Goreng
  • Buah Lemon dipotong Wedges
Cuba Resepi Ni:  Resepi Murtabak Daging Mini

Cara Memasak:

1. Penyediaan Pes; Panaskan minyak sapi atau minyak masak dan masukkan hirisan bawang besar dan rempah 4 sekawan, tumis sehingga garing atau keperangan.

2. Masukkan bahan kisar, cili kering, tumis dan masak sehingga garing. Tambah air rebusan tulang jika terlalu kering. Masukkan bahan tumbuk dan cili hijau besar, gaul rata. Seterusnya, masukkan serbuk rempah kurma dan serbuk rempah sup, gaul-gaul dan tambah air rebusan tulang.

3. Masukkan 1 Tin Tomato Puree Kimball, teruskan masak sehingga pes memekat dan sedia untuk dipindahkan ke periuk rebusan tulang gear box. Pindahkan semua pes ke periuk rebusan tulang gearbox kambing, gaul-gaul biar sekata dan sebati.

4. Masukkan garam secukupnya diikuti sos tomato, sos cili, gula melaka serta gula perang. Teruskan masak sehingga daging benar-benar lembut.

5. Off api dan hidangkan bersama Plain Mantao goreng atau kukus. Jangan lupa taburkan hirisan daun bawang, daun sup, bawang goreng serta perahan sedikit jus lemon. Bon Appetite, Enjoy.

Selamat mencuba resepi istimewa ini.

Sup Tulang Merah Makan Dengan Mantao Kosong

Resepi Oleh: Roslan Eusof