Resipi Daging Masak Hitam Berempah Secukup Rasa

Resipi Daging Masak Hitam Berempah Secukup Rasa

Asyik masak sup je? Jom cuba daging masak hitam pula! Daging korban masih banyak di peti sejuk? Kalau selalu masak sup, singgang atau goreng biasa, hari ini kita buat sedikit kelainan. Jom cuba Daging Masak Hitam yang berempah, lembut dan penuh rasa. Gabungan rempah ratus, kicap dan sedikit manis daripada gula Melaka menjadikan hidangan ini cukup menyelerakan. Memang padu dimakan dengan nasi panas sepinggan. Sekali rasa, pasti nak tambah lagi!

Bahan-Bahan Kisar:

  • 10 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 2 inci lengkuas
  • 3 biji buah keras
  • 10-15 tangkai cili kering (ikut tahap pedas)

Bahan Perap Daging:

  • 1 kg daging lembu
  • 3 sudu besar kicap pekat manis
  • 2 sudu besar kicap cair
  • 1 sudu kecil serbuk jintan manis
  • 1 sudu kecil serbuk jintan putih
  • 1 sudu besar serbuk ketumbar
  • 1 keping gula Melaka (dipotong kecil)

Cara Perap – Gaulkan semua bahan perap bersama daging dan perapkan selama 1-2 jam.

Bahan Lain:

  • 2 batang serai (dititik)
  • 2 sudu besar kerisik
  • 2 sudu besar air asam jawa
  • Garam dan perasa secukup rasa
  • Sedikit karamel atau kicap pekat (jika mahu warna lebih hitam)

Cara Memasak:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak. Masukkan serai dan tumis hingga naik bau. Masukkan daging yang telah diperap. Kacau rata.

2. Tambahkan sedikit air dan masukkan air asam jawa. Masak dengan api sederhana sehingga daging empuk. Kisar halus 5-6 biji buah prun atau segenggam kismis hitam, kemudian masukkan ke dalam masakan.

3. Masukkan kerisik, garam dan perasa secukup rasa. Kacau hingga kuah pekat dan bersalut pada daging. Jika warna masih kurang hitam, tambahkan sedikit kicap pekat atau karamel. Masak sehingga kuah menjadi pekat dan berkilat.

Tip:

Buah prun atau kismis hitam memberikan warna gelap semula jadi serta rasa manis yang seimbang pada daging masak hitam. Sedap dimakan bersama nasi minyak, nasi tomato atau nasi putih panas.

Kalau Nak Cepat, Dapatkan Daging Masak Hitam Sedia Untuk Dimakan Ni >> DAGING MASAK HITAM

Resipi Daging Masak Hitam Berempah Secukup Rasa

Resipi Oleh: Rosaslinda Md Nor