
Resepi Karipap Rangup Inti Kentang dan Sardin
Nak share ilmu buat karipap rangup walaupun dah sejuk still rangup lagi. Beserta resepi inti kentang dan sardin. Akak-akak dan bro otai kalau ada yang salah sila bagi tunjuk ajar ye. Resepi untuk 25-26 biji karipap.
Bahan-Bahan Karipap:
- 400 gram Tepung Gandum
- 80 ml Minyak Masak
- 1 sb Marjerin
- 150 ml Air Sejuk
- 1/2 sk Air Kapur (jika suka)
- 1/2 sk Garam
Cara Membuat:
1. Panaskan minyak masak dan marjerin. Masukkan tepung gandum ke dalam bekas, kemudian masukkan minyak dan marjerin panas tadi. Kacau-kacau dulu dengan sudu.
2. Satukan air sejuk, garam dan air kapur ke dalam cawan (tujuan letak air kapur ialah untuk merangupkan karipap tapi jika tak suka boleh abaikan). Kacau-kacau sebentar.
3. Masukkan ke dalam tepung dan uli sebati. Boleh bulat-bulatkan untuk setiap doh anggaran 25 gram atau lebih. Atau boleh juga biarkan doh tanpa dibulat-bulatkan terlebih dahulu.
4. Biarkan doh selama 2,3 jam supaya minyak dalam tepung tadi terbit. Ok dah boleh terap karipap dan isikan inti ke dalamnya.
5. Goreng sekejap kalau nak dibuat frozen. Boleh juga terus goreng hingga warna keemasan. Kena rajin terbalik-balikkan karipap semasa proses menggoreng. Guna api yang sederhana kecil sahaja.
Bahan Inti Kentang:
- 4 biji Kentang (potong dadu)
- *3 biji Bawang Merah
- *2 biji Bawang Putih
- *1 sb Udang Kering
- 2 sb Rempah Kari Ayam
- 1 sb Cili Kisar
- 1 btg Daun Kari (tak letak pun takpe)
- 1/2 cwn Air
- 2 sb Gula
- 2 sk Garam
Cara Membuat:
1. Rebus kentang hingga empuk (cara saya begitu atau masak semasa tumis kari nanti). Angkat dan toskan kentang. Kisar bahan bertanda (*) hingga halus.
2. Panaskan minyak dan masukkan daun kari dan bahan kisar. Masukkan cili kisar dan masak hingga pecah minyak.
3. Masukkan rempah kari dan tambahkan sedikti air. Tumis hingga kari pecah minyak. Masukkan kentang rebus tadi dan tambahkan 1/2 cawan air. Cara ni mencepatkan proses masak dan tidak hangit.
4. Tambahkan garam, gula dan bahan perasa secukupnya. Ada juga yang suka taburkan daun sup hiris tapi saya tak letak, anak-anak banyak songeh ada sayur dia kata. Letakkan ke dalam bekas dan sejukkan dahulu.
Bahan Inti Sardin:
- 1 tin besar Ikan Sardin (apa-apa jenama, saya beli kat kedai Eco je)
- 3 biji Bawang Besar – dihiris
- 1 biji Bawang Putih – dihiris halus
- 1 1/2 sb Cili Kisar
- 4,5 biji Cili Api (saya tak letak)
- 1 sb Gula
- 2 sk Garam
- 1 biji Limau Kasturi – jus (jika suka)
- Perasa (jika suka)
Cara Membuat:
1. Keluarkan ikan sardin dalam tin, guna separuh je sos sardin tin tu. Hancur-hancurkan dulu ikan sardin. Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan bawang putih.
2. Masukkan cili kisar dan tumis sebentar. Masukkan ikan sardin yang dah dihancurkan dan kacau-kacau sebentar. Masukkan cili api hiris jika nak pedas. Saya tak letak sebab anak-anak kurang makan pedas.
3. Perasakan dengan garam, gula dan perasa secukupnya. Boleh lah diletak dalam karipap.
Resepi Oleh: Cahaya RieQal