Kari Ikan Sardin Kuah Pekat Lebih Sedap

Kari Ikan Sardin Kuah Pekat Lebih Sedap

Ada yang request nak makan kari ikan sardin. Sekali bukak tin, ikan sardin kecil rupanya. Tak apalah. Rezeki jugak tu kan. Syukur, alhamdulillah.

Saya masukkan ikan sardin & kuahnya. Dapatlah kari yang pekat. Time masak tadi, kriuk, kriuk perut berbunyi. Fuh, menguji betul bila masak kari ikan ni. Masak benda lain tak ada pun perut nak berbunyi rancak macam ni.

Bahan-Bahan (4 orang):

  • 2 ulas bawang kecil*
  • 1 biji bawang besar*
  • 1 sdb pes bawang putih-halia
  • 1/2 sdb halba campur
  • 2 tangkai daun kari
  • 1 paket kecil serbuk kari ikan**
  • 1 1/2 sdt serbuk cili**
  • 1/2 sdb asam jawa + 1 cawan air
  • 1 tin besar sardin
  • 1/4 cawan santan pekat
  • 6 batang kacang bendi
  • 1 biji tomato (belah kepada 6 bahagian)
  • Garam secukupnya

Cara Penyediaan:

1. Hiris nipis bahan yang bertanda (*). Bancuhkan bahan yang bertanda (**) dengan sedikit air sehingga menjadi pes.

2. Panaskan minyak masak. Lebihkan minyak masak supaya rempah dapat ditumis dengan elok. Masukkan bahan yang telah dihiris bersama dengan pes bawang putih-halia. Tumiskan sehingga layu.

3. Masukkan pula halba campur dan daun kari. Biarkan seketika. Masukkan pes rempah kari dan serbuk cili. Masak sehingga pecah minyak (Ulang proses ini 3 kali atau lebih untuk mendapatkan kari yang cantik dan tahan lama).

4. Masukkan air asam jawa dan santan. Biarkan sampai mendidih. Perasakan dengan garam secukupnya. Masukkan ikan sardin bersama dengan kuahnya, kacang bendi dan tomato. Jangan balik-balikkan ikan dengan kerap supaya ikan tidak hancur.

5. Biarkan seketika sehingga kacang bendi sedikit lembut. Sedia untuk dihidangkan.

Nota: Jika tiada pes bawang putih-halia, gantikan dengan 2 ulas bawang putih dan 1/2 inci halia.

Kari Ikan Sardin Kuah Pekat Lebih Sedap

Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah