Resipi Sizzling Hot Plate Buat Sendiri Puas Makan
Yang tercari-cari cara masak kuah Sizzling Hot Plate diyakini sedap boleh tengok resipi cikgu di bawah. Cikgu tunjuk dari awal sampai habis cara masaknya. Ohh ya cikgu pecahkan satu rahsia. Kalau kebiasaan makan sizzling dengan Yee Mee atau kuetiau, silalah pekena bersama Mi Wanton pula. Huiss tak muak menikmatinya. Rasa tak cukup adalah.
Masak sendiri di rumah boleh makan puas-puas. Dapat lauk ayam banyak, siap ekstra shitake lagi. Silakan cuba ya resipi dari cikgu. Semoga dapat dimanfaatkan sebaiknya.
Ok jom tengok cara cikgu masak (Untuk 4-5 orang makan);
Bahan Tumis:
- 3 ulas bawang putih diracik
- 3 keping nipis halia
- 3 tangkai cili kering kerinting direndam dalam air panas seketika (kalau anak kecil makan kurangkan jadi 2@1 tangkai sahaja)
Sediakan pula bahan ini:
- 4 ketul ayam cincang kecil (campur bahagian tight lebih sedap)
- 5 biji cendawan shitake (dihiris lalu direndam seketika)
Bahan lain yang seterusnya perlu disediakan ialah:
- 2 senduk kecil / 6 sudu besar kicap karamel
- 2 senduk kecil kicap lemak manis
- 1 sudu besar kicap cair
- 2 sudu besar sos tiram
- 1 sudu besar minyak bijan
- 1 kiub pati ayam
- 1/2 sudu kecil gula
- 1/3 sudu kecil garam
- 2 cubit serbuk lada hitam
- 2 renjis serbuk lada sulah
- 1 Liter air
- Air bancuhan tepung jagung (4/5 sudu besar tepung + sedikit air untuk larutkan)
Kuantiti garam, gula sila seimbangkan ikut citarasa sendiri.
Cara Memasak:
1. Masukkan 1 sudu besar minyak. Tumis bahan hingga naik bau seketika. Kemudian masukkan ayam biar mengecut dahulu kira-kira 7 minit. Masukkan semua bahan perasa dinyatakan kecuali air. Biar dulu seminit dua.
2. Kemudian tuang air kosong 1 Liter. Masak kuah selama 5 minit atau sehingga mula mendidih. Barulah masukkan pula hirisan cendawan shitake. Selepas 2 minit, tuang air bancuhan tepung jagung sedikit demi sedikit sambil kacau kuah. Kena tengok dulu ikut kepekatan yang sedang elok.
3. Sambung masak lagi dalam 4 minit. Kacau dengan kerap. Bolehlah tambah garam gula, kicap kalau ada bahan terkurang. Yang penting rasa manis masin tu tak ketara ya. Boleh dah tutup api. Siap kuah sizzling yang memikat.
Cara Menghidang:
4. Cikgu guna Mi Wanton. Celur sekejap mi wanton ni dengan air panas. Kemudian rendam dalam air paip seketika sebelum ditoskan. Nak vibes macam makan kat food court tu, bolehlah guna pinggan besi ni. Sendukkan kuah sizzling tadi. Buka api semula.
5. Masukkan mi wanton/yee mee/kuetiau/mi kuning dalam pinggan besi ini. Pecahkan sebiji telur. Nak cepat masak, cikgu tutup dengan tudung periuk bahagian atas telur ni. Masak selama 3-4 minit sahaja.
6. Susun cendawan dan ayam. Lepas telur separa masak, boleh masukkan sawi pak choy. Cikgu celur sekejap dulu sawi sebelum tu jadi lepas 5-6 minit tutup api baru cikgu letak. Sedia dihidangkan.
7. Nak lebih sedap makan sizzling kena ada cili potong ni. Cara buat senang sahaja. Lepas potong cili tuang kicap cair.
Guna Sizzling Plate Macam Ni Baru Rasa Macam Food Court >> KLIK DI SINI

Resipi Oleh: Afy AL Habibi


