Resipi Mi Goreng Pucat Cara Orang Dulu-Dulu

Resipi Mi Goreng Pucat Cara Orang Dulu-Dulu

Bukan sebab kehabisan kicap. Tapi cikgu mahu mengembalikan nostalgia masakan cara air tangan orang lama waktu zaman kecil lalu. Lebih kurang beginilah rupanya. Mi goreng ini juga lambang kasih sayang Mok yang turut mencari duit lebih dalam kepayahan membesarkan lima orang anak. Lewat tahun 1990-an, bungkusan mi goreng belian Mok kerap dibawa pulang kepada cikgu adik-beradik selepas Mok selesai buat kerja kampung. Berlari riang kami semua mendapatkan makanan dalam bakul basikal yang dikayuh Mok untuk makan berkongsi satu keluarga.

Harga makanan dulu murah. Tapi duit dalam keluarga cikgu pula yang payah. Sebungkus cuma seringgit kemudian lama lepas tu pak cik yang menjual naikkan sedikit jadi seringgit setengah. Arwah lama dah pak cik ini. Walau tak terang warnanya, cukup sedap sampai cikgu teringat-ingat dari umur budak sampailah menua sekarang. Mungkin ada keberkatan dalam perniagaan yang dijalankan kerana walau sibuk menggoreng mi, beliau rajin menunaikan solat jemaah di surau berhampiran kedainya.

Cara mi dibalut juga cikgu ikut beliau. Menggunakan kertas surat khabar sebagai alas. Semerbak bau lejen bau yang telah lama cikgu tinggalkan menjelma sebaik bungkusan mi goreng dibuka itu muncul. Tentang rasanya walau tidak sepenuhnya sama tapi sudah boleh mengubat kerinduan. Kesyahduan pasti akan bertambah sekiranya cikgu dapat makan berkongsi lima beradik seperti dulu jua.

Bukan sekadar hidangan makanan semata-mata cikgu mahu tunjukkan di sini, terkadang ada kenangan kehidupan lama yang terlalu dirindui. Keindahannya berkekalan sampai bila-bila. Terima kasih kalau sudi baca sampai habis. Selamat mencuba. Jom tengok cara cikgu masak mi goreng ini;

Bahan-Bahan:

  • 400g Mi kuning
  • Sedikit minyak bawang putih
  • 3 ulas bawang putih diketuk
  • 1 biji bawang merah saiz syiling 50 sen ditumbuk
  • Ibu Sambal Klasik Cili Boh – Nak guna cili kisar/cili boh pun terpulang ya
  • Bahan lauk – isi ayam/sotong/fishcake/fishball
  • Bahan sayur – sawi, taugeh, cili besar merah, tomato, cili padi Thai merah dan hijau
  • 200 ml air

Bahan Perasa:

  • Dua renjis serbuk lada sulah
  • 1/2 sudu kecil cuka
  • 1 sudu kecil kicap ikan
  • 3 sudu besar kicap
  • 3 sudu besar sos cili
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar minyak bijan
  • 2 1/2 sudu besar gula
  • 1 sudu besar bawang putih goreng
  • 1 cubit kecil garam

Cara Memasak:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak bawang putih (boleh guna minyak biasa kalau tak buat). Tumis bawang putih terlebih dahulu sehingga sedikit kekuningan. Selanjutnya bawang merah. Setelah naik bau, masukkan satu sudu kecil ibu sambal klasik cili boh (atau boleh guna cili boh/cili kering kisar kalau tiada stok tersedia).

2. Seterusnya, masukkan semua bahan perasa. Ok bab campuran sos atau bahan tambahan perasa ini ada kelainan dari resipi arwah pak cik jual mi dulu. Cikgu tak pasti dia letak apa tapi cikgu boleh agak resipi orang lama ringkas je perasa yang digunakan (tak sebanyak bahan cikgu tunjukkan tu). Mungkin cukup garam, gula, kicap, cili sos dan cuka. Sebab cikgu tak pernah tengok dia buat, tunggu Mok je bawa balik. Jadi terpulang nak ikut bahan mana asalkan campuran semuanya tak berlebihan sahaja. Tambah atau kurangkan kuantiti ikut citarasa sendiri.

3. Masukkan Lauk atau rencah seperti isi ayam, sotong fishcake, atau fishball ke dalam kuali. Kalau nak tambah daging dan udang lagi sedap. Lepas 3 minit, tambahkan air sebanyak 200 ml. Biar lauk masak dulu sekejap. Mi kuning ni cikgu guna 400g. Lerai sekejap dan lalukan bawah air seketika untuk hilangkan rasa pahit payau kapur. Masukkan ke dalam kuali. Kacau-kacau. Nak rupa mi cantik, jangan tikam mi atau patah-patahkan guna sudip. Huu palinglah cikgu jaga bab ni.

4. Boleh tutup dengan dulu dengan tudung periuk untuk proses mi melembut. Guna api paling kecil sahaja. Balikkan sesekali. Selepas mi melembut lebih kurang 6-8 minit, sedia diletakkan sayur. Cikgu guna sayur sama macam arwah pak cik tu jual seperti sawi, taugeh, cili besar merah, tomato, cili padi Thai merah dan hijau. Masukkan sawi dan cili terlebih dahulu. Balik-balikkan seminit. Gunakan api sederhana besar masa akhir masakan ini. Kemudian masukkan taugeh dan tomato lalu terus ditutup api. Tak payah tunggu lama sebab nanti tak sedap kalau sayur masak terlebih masa.

5. Dah siap. Dapatlah rupa mi goreng pujaan hati cikgu zaman kecil dulu dan rasanya pun teramatlah sedap.

Untuk cara pembungkusan stail lama dulu, sepatutnya hanya guna pelapik plastik alas surat khabar je. Tak payah guna kertas coklat tu. Cikgu lupa hari tu. Letakkan dua sudip mi yang masih panas berasap. Letakkan potongan limau. Lagi lejen guna limau nipis. Tambahan untuk mewangikan bau mi goreng cikgu tambah sedikit bawang putih goreng. Bungkus begini seketika. Lebih kurang 10 minit. Selepas bungkusan dibuka. Uishh menggamit jiwa. Setiap suapan yang pasti takkan mengecewakan.

Lebih Sedap Kalau Makan Kuey Teow Dengan Chili Oil Ni >> KLIK DI SINI

Resipi Mi Goreng Pucat Cara Orang Dulu-Dulu

Resipi Oleh: Afy AL Habibi