
Resepi Maggi Hailam Lebih Sedap Dari Biasa
Saya tak berapa gemar Maggi perisa ayam. Jadi, kalau ada Maggi perisa ni, saya akan masak hidangan berikut ni. Biar lebih sedap, lebih mengancam!.
Bahan-Bahan:
- 1 peket mi segera
- 50g isi ayam
- 1 ulas bawang putih
- 1-2 sudu besar sos tiram
- 1 sudu kecil kicap pekat
- 1/2 batang saderi
- 1 batang daun bawang
- 1/4 lobak merah
- 1/2 cili merah
- garam dan gula secukupnya
Cara Memasak:
1. Sediakan bahan-bahan. Oleh kerana saya ada isi ayam, saya tak akan guna serbuk perencah ayam yang datang dengan paket Maggi. Ia agak masin. Ketuk dan tumis bawang putih dengan minyak yang betul-betul panas. Gunakan api besar. Biar dia terkaramel dan perang luar dia. Ini langkah penting untuk disempurnakan.
2. Masukkan potongan ayam. Api masih besar. Goreng kilas. Akan ada serat-serat isi ayam yang kering dna melekat pada kuali. Tak apa, kita memang nak macam tu. Itulah yang nanti beri rasa pada kuah.
3. Masukkan air secawan. Kacau sampai serat isi ayam yang melekat pada kuali tu tanggal. Reneh api besar. Air tu akan jadi warna keruh, dan padat dengan rasa ayam. Sebab tu kita tak perlu dah guna serbuk perencah ayam.
4. Masukkan sos tiram! Ini ramuan penaik rasa dalam masakan kita. Hati-hati jangan letak banyak sangat, sebab ia tinggi kandungan garam. Kita hanya nak masakan kita sedap, bukan nak darah tinggi.
5. Oleh kerana kita letak sos tiram tak banyak, warna kuah kita akan jadi agak pucat. Maka, kita letak sikit kicap pekat. Kicap ni pekat dan gelap, tapi tak berapa masin. OK, kecilkan api, dan masukkan sayur. Nak tukar sayur lain pun boleh. Letaklah sayur apa yang ada di dapur tu. Cendawan, sawi, jagung muda, atau tomato pun boleh.
6. Masukkan Mi! Jika nak celur mi secara berasingan pun digalakkan. Celur mi sampai al dente, kemudian baru masukkan dalam kuah. Itu lebih baik. Saya malas pula hari ni, jadi campak terus dalam kuah.
7. Perasakan garam dan gula jika perlu. Kuah dah sedap tapi cair sangat pula. Kita pekatkan guna tepung jagung. Bancuh dulu dengan air sebelum masukkan ke dalam kuali. OK, dah siap!.
8. Hidang! Tabur daun bawang dan bawang goreng jika ada. Kuah hailam ni rasanya memang serasi dengan mi Maggi. Tak terlalu berempah atau pedas. Masin sos tiram, manis sayuran, serta rasa ayam tu menyerlah. Itu pentingnya teknik tumisan awal tadi.
Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan