
Bulgogi Bersama Cendawan Shiitake ala Korea
Hari ni kita masak daging ala Korea pulalah. Cara dia memang mudah dan sangat versatile. Ada banyak cara masak, dan boleh ubah ikut citarasa masing-masing. Bulgogi daging ni rasa dia masin, manis dan pedas. Ada rasa masam yang boleh buat kecur. Ada rasa daun bawang, bawang putih dan halia yang buat rasa puas di pangkal lidah. Sedapnya!.
Bahan-Bahan: Hidangan untuk 2-3 orang
- 250g daging
- 4 ulas bawang putih
- 2 keping halia
- 1 pokok daun bawang
- 1-2 sudu empingan cili (chili flakes)
- 1 sudu besar pes tomato
- 1 sudu besar cuka
- 2-3 sudu besar kicap cair
- 1 genggam cendawan shiitake
- 1-2 sudu minyak bijan
- 2 sudu bijan (disangai)
- garam dan gula secukupnya
Cara Memasak:
1. Daging saya hiris jadi kepingan nipis. Sebelum dia sempat nyahbeku sepenuhnya saya hiris dengan pisau tajam untuk dapatkan kepingan yang betul-betul nipis. Halia dan bawang putih ni kita lumatkan sampai jadi pes. Boleh cincang, boleh pakai pengisar. Saya guna cobek. Dalam masakan ni, dua bahan ni penting untuk memberi aroma segar.
2. Tumis pes bawang putih dan halia tadi. Nampak tak kalau guna cobek boleh dapat pes yang betul-betul lumat dan kering. Kalau guna pengisar kena tambah air, maka jadi berair pula. Daging sepatutnya kita perap dulu dengan bahan-bahan perasa. Oleh kerana saya nak cepat, saya terus goreng kilas dalam kuali setelah tumis pes bawang putih dan halia tadi. Guna api besar.
3. Bila daging dah bertukar warna, masukkan kicap cair. Saya dapati ada yang tak berapa kenal kicap cair. Kicap air ni memang dia tulis “kicap cair” di botolnya. Rasa dia masin, dan tak likat. Ia tak lemak mahupun manis.
4. Lepas tu masukkan empingan cili. Kalau tak ada empingan cili, boleh kisar cili kering dengan pengisar kering. Boleh juga sahaja cili kisar. Yang penting ada rasa pedas. Kemudian, saya masukkan pes tomato. Pes ini bukan untuk beri rasa masam, tapi untuk beri rasa umami. Tomato kaya dengam monosodium glutamate. Ia boleh menjadikan masakan rasa lebih sedap.
5. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Kalau nampak masakan ni terlalu kering boleh masukkan air sedikit. Bulgogi ni boleh dipanggang atas bara api, atas plat pemanas, atau guna kuali rata macam ni. Guna apa ada.
6. Tadi saya dah rendam cendawan shiitake yang kering. Bila ia dah kembang dan lembut, saya buang tangkainya dan hiris dia halus. Lepas tu masukkan dalam kuali. Potong daun bawang kasar-kasar dan masukkan dalam kuali. Goreng kilas! Daun bawang ni pun beri rasa segar pada masakan ni. Ia juga beri tekstur.
7. OK! masukkan sedikit cuka untuk beri sedikit kemasaman yang menyegat. Tak usah letak banyak. Tambah sedikit dahulu dan rasa. Kalau tak cukup, tambah lagi. Seterusnya, tabur bijan yang telah di sangai. Dah siap. Boleh hidang dalam pinggan.
8. Ringkas masakan ni, kan? Kalau nak lebih sedap, perap daging dengan semua bahan ni, barulah goreng kilas semuanya. Alamak lupa letak minyak bijan lepas tabur biji bijan tadi. Tak apa, masa dah hidang pun boleh renjis sikot minyak bijan pada bulgogi kita. Minyak bijan ni kira peningkat selera.
9. OK! Boleh tabur lebihan bijan dan daung bawang yang ada untuk cantikkan persembahan. Bulgogi daging dan cendawan ni kira hidangan lengkap jugalah. Ada protein dan ada sayur. Tinggal makan dengan nasi putih.
Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan