Ayam, Nasi

Resepi Nasi Ayam Roasted Sedap Gila

resepi-nasi-ayam-roasted-sedap-gila

Resepi Nasi Ayam Roasted Sedap Gila

Cikgu nak kongsi resepi nasi ayam Roasted sedap. Sampaikan cikgu rasa dah tak nak makan kat luar. Cikgu buat sendiri lagi sedap. Adehh kena masuk bakul kali ini. Sebab benda tak tipu. Dua hari berturut cikgu makan menu sama.

Puas hati buat sebab boleh makan ayam lebih. Caranya pun alahai mudah je. Ada rahsia buatan sambal cili yang ‘kick’ cikgu pecahkan. Kena simpan kemas-kemas resepi cikgu kat bawah ni. Jom cuba, resepi untuk hidangan 5-6 orang makan.

A. Resepi Sup Ayam

1. Panaskan 2 liter air dalam periuk tinggi. Masukkan satu kiub ayam Maggi. Perasakan juga dengan sekali renjis serbuk lada sulah, garam secukup rasa dan sekeping halia.

2. Selepas sup mendidih, masukkan seekor ayam ke dalamnya. Angkat selepas ayam separa masak kira-kira 10-15 minit. Toskan dalam bekas. Sambung reneh sup dalam api perlahan.

3. Masukkan bebola ikan untuk tambahan jika suka. Sewaktu dihidangkan, barulah taburkan daun bawang dan bawang goreng. Sup ringkas. Tapi ada rasa yang sangat istimewa.

B. Resepi Nasi Ayam

1. Dalam kuali panaskan 1 senduk marjerin Pelangi. Masukkan pula;

  • dua keping halia
  • dua helai daun pandan simpul
  • sebatang serai saiz kecil diketuk
  • 1 sudu gula

+ Kalau ada lemak ayam bolehlah dicairkan sekali

2. Masukkan 3 cawan beras yang sudah dibersihkan. Goreng seketika sebelum dimasukkan kesemuanya dalam periuk nasi.

3. Tambahkan air sup secukupnya dan serbuk kunyit secubit dua untuk menghasilkan warna kuning.

4. Masak nasi seperti biasa. Semasa nasi hampir masak, masukkan lagi sedikit marjerin untuk rasa nasi yang sedikit berlemak dan wangi.

C. Ayam Roasted

1. Seekor ayam yang sudah ditoskan tadi dilumurkan dengan campuran bahan di bawah;

  • 2 sudu besar kicap pekat
  • 1 sudu besar kicap cair
  • 2 sudu besar sos blackpepper
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar minyak bijan
Cuba Resepi Ni:  Resepi Mudah Kerutuk Telur Meletop

2. Lumurkan sebati pada ayam. Tips untuk kulit ayam luar yang garing cantik, ayam disangkut dan dijemur setengah jam bawah cahaya matahari.

3. Kemudian masukkan ayam ke dalam AF. Pilih menu ‘Roast’ dan bakar ayam sehingga masak. Potong ayam kepada bahagian kecil sebelum dihidangkan.

D. Sambal Cili ‘Kick’

  • 5 batang cili merah
  • 2 batang cili padi merah
  • sekeping halia

1. Kisar bahan-bahan di atas sehingga sedikit halus. Tuang dalam periuk kecil. Masukkan dua sudu besar Sos Cili Thai by Maepranom.

2. Masak seketika atas api. Tak perlu letak garam gula sebab campuran kesemuanya sudah lengkap rasanya.

3. Rahsia penting, 1 labu bawang putih jeruk (dibuang kulit dan tangkai). Masukkan sekali 2 senduk airnya.

E. Sambal Kicap

  • 1 senduk kicap cair
  • 1/2 sudu kecil minyak bijan
  • 1 sudu besar kicap biasa
  • 1/2 sudu kecil sos tiram

1. Campurkan kesemuanya dalam periuk. Panaskan seketika. Tambahkan dengan sedikit sup tadi. Kacau kesemuanya dan sedia dihidangkan.

Cubalah resepi cikgu, sangat sedap!. Cara hidangan tengok pada gambar ya.

Resepi Nasi Ayam Roasted Sedap Gila

Resepi Oleh: Afy AL Habibi