Masakan Barat

Resepi Mudah Sup Cendawan Berkrim Dengan Pizza Homemade

resepi-mudah-sup-cendawan-berkrim-dengan-pizza-homemade

Resepi Mudah Sup Cendawan Berkrim Dengan Pizza Homemade

Jika mengingatkan sup cendawan berkrim jenama Campbell yang popular maka kita bermula dari Amerika Syarikat. Tetapi, syarikat Campbell mengambil daripada asas sos bechamel dari Perancis yang direka oleh Chef Marquis Louis de Béchamiel de Nointel. Daripada nama beliaulah yang setelah beberapa lama hilang huruf ‘i’ lalu jadi bechamel sahaja.

Chef Béchamiel pula diinspirasikan oleh tukang-tukang masak Catherine de Medicis yang membawa salsa colla (gam) dari Tuscany, Itali. Salsa colla dipanggil begitu kerana sos ini digunakan untuk ‘mengikat’ atau ‘memegang’ bahan-bahan dalam satu hidangan.

Dahulu saya berniaga sup cendawan berkrim. Macam-macam bahan dan macam-macam kaedah saya cuba. Ada saya kongsi resipi dengan seorang guru dan beliau berikan komen yang membantu saya merombak lagi resipi. Benarlah, kadang-kadang penyelesaian yang elegan itu mudah.

Resipi dan penerangan sup cendawan berkrim:

1. 1/2 tin 450 g cendawan butang dan 6 ulas bawang putih. Boleh guna cendawan butang segar atau campuran cendawan lain yang disukai. Saya elakkan mengguna cendawan shitake kerana rasanya yang terlalu kuat dan profil rasanya lebih Jepun berbanding dengan Amerika. Namun jika mahu guna cendawan shitake, tidak ada salahnya.

Resepi Mudah Sup Cendawan Berkrim Dengan Pizza Homemade

2. Panaskan 2 sudu makan marjerin atau mentega. Tumis cendawan dan bawang putih. Gunakan api perlahan dan biarkan sehingga cendawan ‘meletit’ atau ‘meletup’ kecil (popping). Saya dapati dengan cara ini rasanya kurang ‘plastik’ dan lebih asli.

3. Tumis sehingga keemasan sudah memadai. Jika terlalu garing, warna sup akan jadi lebih gelap. Seterusnya, masukkan dalam pengisar (blender). Tambah 2 – 3 sudu makan krim putar (bukan yang manis ya!). Jika banyak sangat rasanya sedikit muak. Jika tiada krim, boleh guna susu segar, susu tepung atau susu sejat.

4. Tambahkan serbuk stok ayam (jika mahu), serbuk lada hitam dan garam. Tambah secawan air dan kisar sehingga halus. Tuang semula ke dalam kuali atau periuk gorengan tadi yang masih berbekas dengan marjerin atau mentega. Panaskan atas api perlahan.

Resepi Mudah Sup Cendawan Berkrim Dengan Pizza Homemade

5. Tambah Italian herbs atau oregano. Jika mahu lebih pekat, tambah bancuhan 2 sudu teh tepung jagung dan 1/4 cawan air. Pada saya, apabila kepekatan boleh menyalut sudip begini sudah cukup. Matikan api, sup cendawan berkrim siap.

Padankan dengan pizza buatan di rumah (homemade).

Resepi Mudah Sup Cendawan Berkrim Dengan Pizza Homemade

Bahan Doh Pizza:

  • 2 sudu teh yis segera
  • 1 sudu makan gula
  • 4 susu makan susu tepung
  • 1 cawan air suam (Jika guna susu segar, tuang susu segar hampir penuh cawan kemudian tambah air panas untuk jadikan suam)
  • 1 sudu teh garam
  • 2 sudu makan minyak
  • 2 sudu makan cuka
  • 3 cawan tepung/secukupnya untuk jadikan doh
Cuba Resepi Ni:  Resepi Quiche Makanan Laut

Cara Membuat:

1. Masukkan yis, gula, susu dan air suam dalam bekas yang sesuai. Biarkan sehingga yis mula aktif. Akan ada bau roti yang mula terhidu dan permukaan susu berbuih. Tambah garam, minyak dan cuka. Kacau rata.

2. Tambah tepung sedikit demi sedikit sehingga terbentuk doh. Oles doh dengan minyak dan rehatkan sehingga naik sekali ganda. Uli doh supaya mengecil semula. Bahagi tiga jika hendak pizza yang nipis atau bahagi dua jika mahu pizza yang lebih tebal.

3. Oles dulang bakar dengan marjerin atau mentega yang sudah lembut pada suhu bilik. Tekan-tekan doh supaya memenuhi dulang bakar. Cucuk dok dengan garfu supaya tidak melembung semasa bakar.

4. Sapu sos pasta atau sos kegemaran anda dan tabur bahan yang anda suka untuk pizza. Bakar dalam ketuhar pada suhu 180°C atau 350°F selama 20 minit atau sehingga tepi doh garing keemasan.

Resepi Mudah Sup Cendawan Berkrim Dengan Pizza Homemade

Resepi Oleh: Siti Hazneza binti Abdul Hamid