Resepi Mudah Ikan Bakar Nyonya Bunga Kantan
Semalam saya geledah pantri, jumpa satu benda yang saya tak pernah guna. Terus keluarkan ikan dan sediakan bahan untuk masak Ikan Bakar Nyonya!
Bahan-Bahan:
- 1 ekor ikan siakap
- 1 biji tomato
- 1 kuntum bunga kantan
- 1 tangkai daun kesum
- 1 inci kunyit
- 2 tangkai cili merah
- 2 ulas bawang putih
- 5 biji bawang merah
- Garam dan gula secukup rasa
Cara Membuat:
1. Ini bahan-bahan perencah utama. Kalau nak lebih pedas, lebihkan cili merah. Limau nipis dan daun limau purut tu hiasan je. Potong kasar bawang merah, bawang putih, tomato, b̶u̶a̶n̶g̶ bunga kantan, cili merah dan kunyit. Kemudian kisar.
2. Oh, kalau tak ada kunyit hidup, kunyit serbuk pun boleh juga. Saya letak 2 sudu teh. Saya beritahu siap-siap sebab ramai yang rajin tanya benda ni. Lepas tu kita tumis! Kalau tak tumis pun boleh juga, sebab sekejap lagi nak bakar, kan? Saya suka tumis dulu. Masa tumis ni boleh letak garam, gula dan perencah lain.
3. Dah pecah minyak, masukkan daun kesum dan bunga kantan (kalau ada lebih). 2 bahan ni lah yang menjadikan masakan ni menyelerakan. Harum dan segar!. Dah siap tumis! Tumis sampai jadi pekat, nanti mudah nak sapu atas ikan.
4. Sementara tumis perencah tadi, saya siang ikan. Bersihkan, urut, dan kelar begini. Kalau orang tak nak urut ikan pun tak apa. Saya suka urut ikan. Haha. Alamak tadi lupa nak beritahu kena guna daun pisang. Layurkan daun pisang atas api. Jangan lupa bersihkan dulu daun tu!.
5. Oh ya, aluminium foil pun perlu. Sebenarnya kalau rasa leceh nak bakar, kau orang kukus je ikan tadi dengan rempah yang kita dah tumis tu. Tapi kalau nak sedap, bakar!. OK, sambung persiapan nak bakar ikan! Jangan bebel banyak sangat. Letak daun pisang atas aluminium foil. Ceduk separuh daripada rencah, ratakan atas daun pisang.
6. Letak ikan atas tu. Alamak, besar sangat ikan ni. Terjojol ekor dia keluar dari daun pisang. Tak apa, nanti kita trim jambul ekor tu. Ratakan separuh lagi perencah tadi atas ikan pula. Masa ni pun dah nampak menyelerakan, kan?. Saya tutup mata ikan tu dengan kelopak daun kantan. Biar dia tidur.
7. Letak pakai daun pisang di atas ikan, dan kemudian tutup guna aluminium foil di atasnya. Kelim semua sisi aluminium tu. Letak ikan yang kita dah balut tu atas pemanggang. Hidupkan api. Jangan besar sangat. Sedang-sedang elok je.
8. Bakar satu belah dalam 10 minit, kemudian terbalikkan dan bakar sebelah lagi 10 minit. Sebenarnya ikut saiz ikan juga. Kalau besar, lama. Kalau kecil, sekejap. Bila dah yakin ikan kita dah masak, kita belah aluminium foil dan daun. Suspens masa ni. Takut ikan mentah lagi.
Itu dia! Ikan Bakar Nyonya kita masak dengan cemerlang! Bau bunga kantan dan daun kesum tu menggoda habis! Selamat menjamu selera!.
Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan