Resepi Kari Daging Ubi Kentang Memang Sedap Terangkat
Daging korban ni, jiran saya bagi masa Hari Raya Aidiladha beberapa bulan yang lepas. Bila nak masak, kena plan betul-betul supaya kami dua beradik dapat makan bersama. Hari ni, bila kami berdua free dan ada di rumah, baru saya masak. Saya dapat 1 kg daging dan 1 kg tulang. Disebabkan saya malas nak fikir menu untuk tulang tu, saya masukkan saja dalam kari ni.
Saya tak ada pressure cooker dan tak perlu pun nak ada sebab masak pun sesekali je. Jadi, step nak memasak kari ni nampak agak panjang. Tapi, saya puas hati sangat dengan hasilnya. Kalau nak makan sedap, jangan kedekut bahan dan masak ala kadar je. Kentang tu, boleh je nak tukarkan dengan rebung atau rias (umbut) pisang. Tulang tu pulak, tak nak letak pun tak apa. Boleh skip step merebus tulang. Selamat mencuba.
Bahan-Bahan:
- 1.0 kg daging/1.0 kg tulang + 500 g daging lembu
- 4-5 sdb/ 2 paket kecil serbuk kari ayam & daging
- 2 sdb serbuk cili
- 2 biji bawang besar*
- 6 ulas bawang putih*
- 8 biji bawang kecil**
- 6 ulas bawang putih**
- 3 inci halia**
- 6 tangkai daun kari***
- 2 batang kulit kayu manis***
- 4 kuntum bunga lawang***
- 6 biji buah pelaga***
- 8 biji bunga cengkih***
- Air rebusan tulang lembu/air secukupnya
- 1 sdb asam jawa + sedikit air
- 1 cawan santan
- 2-3 sdb kerisik/2 paket kecil
- 6 biji kentang
Cara Penyediaan:
1. Tulang; Rebus tulang dengan air. Buang keladak yang terhasil dan teruskan merebus sehingga air rebusan jernih serta daging pada tulang empuk.
2. Kisar bahan-bahan yang bertanda (*). Perap daging yang telah dihiris dengan bahan kisar, rempah kari dan serbuk cili selama 30 minit hingga 1 jam.
3. Hiris nipis bahan-bahan yang bertanda (**). Panaskan minyak masak. Tumis bahan yang telah dihiris serta bahan-bahan yang bertanda (***) sehingga keperangan.
4. Masukkan tulang yang telah direbus dan daging yang diperap bersama dengan bahan perapan. Gaul rata dan biarkan rempah masak.
5. Tambahkan air rebusan tulang sama paras dengan tulang dan daging. Biarkan sehingga mendidih dan masak sehingga daging empuk (tambah air lagi jika daging belum empuk).
6. Masukkan air asam jawa, santan dan kerisik. Kacau rata. Masukkan juga kentang serta perasakan dengan garam. Biarkan seketika sehingga kentang empuk. Sedia untuk dihidangkan.
Guna Pes Rempah Kari Mamak Ni Pun Sedap Juga >> https://shope.ee/9etc0i8ZGO
Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah