
Mopu Tofu Makan Dengan Nasi Putih Pun Dah Cukup
Hari ni kita masak masakan yang isteri saya suka masak. Saya belajar masak hidangan ni dari dia. Dia yang cadangkan supaya saya kongsi resepi ini. Masakan ni berasal dari Sichuan, China.
Bahan-Bahan: 2-3 orang makan
- 200g daging kisar/cincang
- 1 pek tauhu lembut
- 2 sudu besar pes kacang pedas
- 1 sudu besar empingan cili
- 1 sudu besar lada bunga (Sichuan peppercorn) >> https://shope.ee/7A5wdyFfay
- 2 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 1 tangkai daun bawang
- 2 sudu besar tepung jagung
- Garam dan gula secukup rasa
Nota:
- Mesti ada yang tertanya-tanya pes kacang pedas tu apa, kan? Kalau beli di pasar raya, cari “chili bean paste” atau “toban djan” dalam botol kecil. Dia macam taucu tapi pedas. Kalau tak jumpa, guna sahaja taucu.
- Masakan Sichuan memang lazimnya guna toban djan dan lada bunga (Sichuan pepper). Lada bunga ni rasa dia tak pedas sangat, tapi lebih kepada berangin. Dia wanhi, dan kalau makan, lidah rasa kebas sikit.
Cara Memasak:
1. Sangai sikit empingan cili dan lada bunga, lepas tu tumbuk sampai halus. Kalau tak dapat cari lada bunga ni, tak payah letak pun tak apa. Lebihkan sikit empingan cili (chili flakes) sahaja. Tak lagi jauh sangat rasa masakannya nanti.
2. Halia dan bawang putih ditumbuk halus sampai jadi pes. Tauhu lembut dipotong dadu, dan di rebus sebentar dengan air bergaram. Rebus 2 minit. Katanya supaya tauhu tu mengeras sesikit. Kalau tidak, dia terlalu lembut, dan akan hancur bila digaul nanti.
3. Goreng daging kisar atau daging cincang sampai masak. Biasanya guna daging lembu tapi kalau nak tukar kepada ayam, arnab, kijang, rusa, landak atau apa-apa haiwan lain pun boleh.
4. Kemudian, masukkan bahan pes bawang putih dan halia tadi. Masukkan toban djan atau taucu. Kemudian baru masukkan serbuk empingan cili dan lada bunga yang kita tumbuk tadi. Tumis sebentar dan kemudian masukkan air setengah cawan. Reneh sebentar.
5. Boleh masukkan garam dan gula mengikut citarasa masing-masing. Kalau ada cuka hitam, masukkan 1 sudu besar. Kalau tak ada, tak apa. Masukkan bancuhan air tepung jagung sedikit untuk pekatkan kuahnya. Kuahnya kena pekat sampai boleh menyalut pada daging dan tauhu. Barulah sedap dimakan.
6. Akhir sekali, masukkan tauhu. Susun perlahan-lahan. Perlahankan api. Reneh untuk 2-3 minit sehingga minyak naik ke permukaan. Lepas tu baru gerak-gerakkan tauhu ni. Kalau cepat sangat gaul, dia hancur.
7. Nampak! Tak pecah pun tauhu tu. Tabur sikit daun bawang, dan bolehlah hidang! Rasa dia pedas, masin, dan berlemak. Pes kacang bercili atau taucu tu yang beri dia keunikan. Makan dengan nasi putih! Memang berpeluh dan kebas lidah. Bukan kebas sebab terlampau pedas, tapi sebab cili bunga tu memang ada rasa “minty” (berangin). Dia bukan pedas terseksa tu.
Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan