Resepi Masakan Taucu ala Kelantan
Saya masak taucu untuk juadah buka puasa sekejap lagi. Biasa kalau masak taucu belah negeri Kelantan letak santan. Juga jadi salah satu menu femes masa kenduri. Yang tak biasa makan dan buat jangan rasa pelik lagi. Cuba dulu. Baru tahu sedapnya sampai bertambah nasi.
Saya sertakan sekali resepi kalau ada kawan lain negeri yang teringin nak cuba. Sesuai sangat kalau tak tahu nak buat apa dengan pedal dan hati ayam banyak-banyak.
Boleh rujuk resepi taucu di sini ya.
Bahan Kisar:
- 4 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 3 tangkai cili padi
- 3 batang serai
- 1 inci lengkuas
- 2 hiris nipis halia
- 2 sudu besar udang kering
- 1 sudu besar belacan
Untuk Lauk:
- Segenggam hati ayam
- Segenggam pedal
- 4 kaki ayam
- 6 kepak ayam
- 6 ketul bahagian ayam yang bertulang
* Semua bahagian dia atas ini dipotong kecil. Kemudian rebus separa masak bersama serbuk kunyit dan garam secukupnya. Ketuk 2 batang serai dan sehiris halia untuk menambahkan rasa.
- segenggam udang
Cara-cara:
1. Tumis bahan kisar sehingga naik bau. Lecekkan 2 senduk rencah taucu dalam lesung batu sebelum ditumis sekali.
2. Masukkan air asam jawa (1 sudu asam jawa + segelas air) setelah bahan tumis garing. Tambahkan 4 sudu besar gula dan secubit garam. Kuantiti gula terpulang pada citarasa sendiri. Garam tak perlu banyak sebab rencah taucu sudah cukup masin.
3. Boleh masukkan potongan ayam yang telah direbus tadi (Udang dimasukkan selepas ini). Tutup dengan penutup. Renehkan sehingga ayam sedikit empuk.
4. Selepas ayam masak, masukkan 5 senduk santan (kuah taucu tidak perlu banyak). Boleh masukkan udang setelah semuanya mula sebati.
5. Apabila kuah mula mendidih, masukkan bahan hiasan iaitu 1 1/2 biji bawang besar Holland (belah dadu), 4 tangkai cili hijau, dan 2 tangkai cili merah dipotong bulat. Setelah bawang mula layu, barulah masukkan 2 biji tomato kecil (belah 8).
6. Akhirnya boleh masukkan secekak kecil kacang panjang yang dipotong pendek. Balik-balikkan 1-2 minit. Boleh tutup api supaya kacang tidak terlebih masak dan warna kacang panjang tetap hijau cantik.
7. Siap. Boleh dihidangkan bersama lauk kenduri yang lain.
Selamat mencuba resepi masakan taucu ala Kelantan ini.

Resepi Oleh: Afy AL Habibi