
Megi Bandung Guna Bahan-Bahan Segar Rasa Lebih Sedap
Kembali lagi dengan resepi Maggi separa sihat! Hari tu buat ramen, kali ni kita buat sesuatu yang lebih ngam dengan citarasa lokal. Diinspirasikan dari hidangan popular Muar. Mempersembahkan! Maggi Bandung.
Bahan-Bahan:
- 1 paket Maggi
- 6 tangkai cili kering /1 sudu besar cili kisar
- 1 ulas bawang putih
- 1 biji bawang merah
- 1-2 ekor udang
- 1-2 sudu besar udang kering
- 1-2 sudu besar kacang tanah
- 1 butir telur
- 1 sudu besar sos tomato
- 1-2 helai daun sawi
- Garam dan gula secukup rasa
Udang segar tak ada, tak apa. Udang kering kena ada. Nak ganti udang segar kepada sotong, ketam, kepah, lala, ayam atau daging pun boleh. Ikut selera masing-masing. Kalau resepi ori, kena ada udang dan daging.
Cara Memasak:
1. Kacang (dah goreng), cili kering, dan udang kering, dikisar kering. Kalau tak ada kacang, letak je mentega kacang, tapi tak payahlah kisar. Masa di Rusia dulu selalu buat macam tu. Mudah, dan tak berkecah.
2. Cincang bawang putih dan bawang merah. Tumis sampai wangi. Tumis bahan kisar kering tadi. Kalau nak ganti cili kering dengan cili kisar pun boleh. Serbuk cili? Boleh belaka. Janji padas! Mi Bandung mana boleh tak pedas.
3. Tumis sampai cili benar-benar masak. Masa ni bau udang kering mengasak hidung. Jaga-jaga, jangan terbersin dalam kuali. Tambah air, dan reneh sampai kacang dan udang kering kembang dan memekatkan kuah.
4. Untuk seimbangkan rasa, letak sos tomato. Biar ada pedas dan masam. Ketika ni boleh letak gula dan garam. Mi bandung, secara tradisinya, manis sedikit. Ikutlah nak letak gula sikit ke banyak. Saya letak sikit.
5. Letak mi segera! Kalau nak celur asing pun boleh. Kalau malas, boleh letak terus dalam kuah. Boleh masukkan pula udang harimau, patutnya masukkan Udang Harimau awal tadi. Kemudian, Letaklah apa-apa sayur kesukaan masing-masing. Sawi, kobis, lobak, tomato. Letak, jangan tak letak. Lagi banyak sayur lebih sihat!.
6. OK, akhir sekali pecahkan telur. Tak payah kacau beriya. Biar telur masak, dan dah boleh matikan api. Hidang! Tabur bawang goreng! Rasa dia tak padu macam Mi Bandung, tapi bolehlah! Namun, cukup rasa udang kering, masin, pedas, dan ada rasa manis-manis udang segar. Berpadanlah dengan rasa masakan yang di masak dalam 10 minit.
Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan