Resepi Mi Segera Berempah Lebih Sihat dan Sedap
“Aik? Doktor pun makan mi segera? Bukan tak elok untuk kesihatan, ke?”. Mestilah, makan! Benar, tak elok kalau kita makan selalu. Sekali sekala tak apalah. Lagi-lagi kalau kita buat sendiri rempah ratus dia, dan tambah sedikit sumber protein. Lebih sihat, lebih sedap!,
Bahan-Bahan: (hidangan 2 orang)
- 300g daging
- 2 peket mi segera
- 6 tangkai cili kering
- 1 ulas bawang putih
- 1 biji bawang merah (kecil)
- 1 sudu teh biji ketumbar
- 1 sudu teh jintan manis
- 1 sudu teh lada hitam
- 1 helai daun salam
- 1 biji pelaga
- 1 sudu besar madu
- 1 sudu besar minyak bijan
- 2 sudu kicap cair
- 1 batang daun bawang
- Garam secukup rasa
Cara Memasak:
1. Ini bahan asas untuk rempah ramen kita. Kalau malas nak buat rempah ni, beli sahaja “Sechuan chili oil”. Saya nak buat sendiri sebab boleh pilih nak rempah yang kita suka.
2. Rempah tadi kita sangai dahulu sehingga naik bau. Ini menaikkan aroma rempah dan memedihkan mata. Padan muka!. Lepas dah sangai, kita kisar rempah kita dengan sedikit garam. Gunakan pengisar kering.
3. Jika nak lebih sedap dan trendy, gunakan daging Harimau Menangis. Saya nak buat resepi separa sihat, jadi saya guna daging potongan kurang lemak. Perasakan dengan garam dan lada hitam.
4. Saya bakar setiap permukaan daging selama 1-2 minit. Jangan lama sangat, nanti daging akan kering. Kita nak luar dia gelap, tetapi dalam masih berjus. Lepas bakar, rehatkan daging sekejap.
5. Tumis bawang putih dan bawang merah yang telah dicincang, dalam minyak bakar daging tadi. Sambil-sambil tunggu bawang di tumis, bolehlah mula rebus mi segera kita. Tak payah guna perencah dalam peket.
6. Bila bawang dha bertukar warna keemasan macam gelang pulut dakap, masukkan rempah yang telah dikisar. Bau akan semerbak dan sekali lagi mata akan pedih. Padan muka lagi. Letak daun salam. Kalau tak ada, tak apa. Kalau ada, memang rasa ia akan lebih sedap. Susah nak gambarkan rasa daun salam ni.
7. Ramen ni perlukan rasa umami, jadi kita bubuh kicap cair. Kalau tak ada, apa-apa kicap pun boleh. Saya nak ramen ni warnanya tak gelap sangat, jadi guna kicap cair lah. OK masukkan mi yang dah direbus dan ditoskan. Mi yang “al dente” (masih kenyal, tak terlalu lembut) lebih sesuai untuk ramen kering macam ni.
8. Saya masukkan madu untuk seimbangkan rasa ramen ni. Kalau nak gantikan dengan gula, boleh juga. Masukkan juga minyak bijan. Ia menambahkan aroma yang menyelerakan pada ramen ini. Jika tak suka, boleh tinggalkan langkah ni.
Ha! Tengok ramen kita merah asli, pedas, dah berempah. Daging kita luarnya gelap, dalam dia merah jambu dan berjus. Fuh! Setiap gigitan akan menyebabkan kau orang menangis syahdu. Kalau letak poached egg atas tu, lagi padu!. Resepi ramen separa sihat ni, kalau tambah sayuran lebih baik. Jangan makan banyak sangat tau!.
Resepi Oleh: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan