
Kek Pisang Moist Guna Bahan Lebih Ekonomi
Assalamualaikum. Kek pisang ni dah lama saya buat dan resipinya saya cuba dari perkongsian Pn. Mariana Zainal tapi saya olah sedikit dengan mengikut cara saya sendiri. Mudah sangat nak membuatnya. Bagi saya, resipi ni jika diikut betul-betul confirm akan jadi. Bagi peminat makanan berunsurkan pisang, anda harus mencubanya. Resipi ini menggunakan bahan-bahan yang sangat ekonomi dan jika mahukan rasa yang lebih rich, boleh gantikan penggunaan minyak dengan mentega yang dicairkan.
Bahan-Bahan (Loyang 8×8 inci):
- 1 cawan pisang yang telah dilecek (3 1/2 biji pisang abu)
- 1 sdb jus lemon/ limau nipis/limau kasturi
- 4 biji telur (A)
- 1 cawan minyak jagung
- 3/4 cawan gula kastor
- Sedikit emulko pisang/ vanila
- Secubit garam
- 1 1/2 cawan tepung gandum
- 1 sdt soda bikarbonat
- 1 sdt serbuk penaik (baking powder)
Cara Penyediaan:
1. Panaskan oven pada suhu 170°C dengan api atas dan bawah. Gris nipis loyang dan alas dengan baking paper. Ketepikan.
2. Campurkan jus lemon ke dalam pisang yang telah dilecek. Gaul sekata. Ketepikan. Ayak tepung gandum, soda bikarbonat dan serbuk penaik. Ketepikan.
3. Kisar telur, minyak jagung, gula kastor, emulko vanila dan garam selama 6 minit. Kaup adunan dengan spatula sekali-sekala. Masukkan pisang lenyek ke dalam pengisar. Kisar seketika (lebih kurang setengah minit).
4. Masukkan bahan kisar ke dalam tepung yang telah diayak sedikit demi sedikit sambil digaul. Pastikan adunan bercampur rata. Tuangkan ke dalam loyang. Hiaskan dengan pisang yang dihiris nipis.
5. Bakar selama 50-60 minit atau sehingga masak. Setelah kek masak, sejukkan pada suhu bilik. Kek akan lebih berkilat apabila dibiarkan lebih 3 jam selepas dibakar.
Nota:
- Untuk hiasan, letakkan pisang yang dihiris nipis supaya pisang tidak tenggelam di dalam adunan kek.
- Cucuk dengan lidi pada bahagian tengah kek untuk memeriksa jika kek telah masak sepenuhnya. Jika lidi bersih dan tiada adunan yang melekat, bermakna kek telah masak dan bolehlah dikeluarkan dari oven.
Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah