Daging

Dalca Tulang Kambing Sedap Dimakan Bersama Nasi atau Roti

dalca-tulang-kambing-sedap-dimakan-bersama-nasi-atau-roti

Dalca Tulang Kambing Sedap Dimakan Bersama Nasi atau Roti

Assalamualaikum wbt sahabat. Saya sekadar ingin berkongsi resepi yang saya masak minggu lepas untuk hidangan kami sekeluarga. Untuk kali ini, Dalca Tulang Kambing dimana saya menggunakan lebihan Tulang Kambing Golek dari Majlis dirumah tempohari dan disejukbekukan. Jadi tidak perlu masak terlalu lama untuk resepi kali ini berbanding dengan menggunakan daging kambing mentah. Resepi dan cara memasak adalah seperti berikut;

Bahan-Bahan:

  • Tulang Kambing – saya guna lebihan tulang kambing golek, boleh guna daging kambing/lembu/ayam/sayuran sahaja
  • Kacang Dal – anggaran segenggam, direndam dan direbus sehingga empuk dan lembut
  • 1/4 Tin Sudu Cair
  • 2-3 Sudu Makan Sos Tomato
  • Buah Tomato – 1 Biji untuk tumis dan 2-3 biji masuk hujung-hujung masakan
  • Cili Hijau – 2 Biji untuk tumis dan 3 biji untuk masuk hujung-hujung masakan
  • 4 Biji Ubi Kentang – belah 3-4 ikut saiz ubi
  • 2-3 Sudu Makan Minyak Sapi
  • Minyak Masak
  • Garam Dan Gula SeCukupnya

Bahan Rempah Ratus:

  • Serbuk Rempah Kurma 1 Peket Kecil
  • Serbuk Cili 2-3 Sudu Makan
  • 1-2 Sudu Makan Serbuk Kunyit
  • 1 Sudu Teh Serbuk Ketumbar
  • 1 Sudu Teh Serbuk Jintan Manis
  • 1 Sudu Teh Serbuk Jintan Putih
  • Campurkan semua dengan Air Suam untuk dijadikan Pes.

Bahan Menumis:

  • Rempah Biji 4 Sekawan – Kulit Kayu Manis, Buah Pelaga, Bunga Cengkih dan Bunga Lawang
  • 3 Labu Bawang Besar dihiris nipis
  • Akar/Batang Daun Ketumbar
  • Daun Kari
  • 1-2 inci Halia dikisar
  • 7 Ulas Bawang Putih dikisar

Cara Memasak:

1. Panaskan minyak masak dan minyak sapi, kemudian masukkan rempah biji 4 Sekawan tu dan tunggu hingga ada bunyi ‘pop-pop’ dan terus masukkan hirisan bawang besar dan daun kari. Tumis hingga bawang bertukar warna keperangan (jangan garing sangat nanti pahit).

2. Masukkan pes rempah, gaul rata sebentar dan terus masukkan akar/daun/batang ketumbar bersama cili hijau. Tumis sehingga agak garing dan tambah 1 cawan air dan tambah buah tomato. Teruskan menumis hingga pecah minyak dan buah tomato layu.

Cuba Resepi Ni:  Resepi Kari Kambing

3. Masukkan bawang putih dan halia kisar. Gaul rata dan biarkan sebentar dalam 1-2 minit. Masukkan air bersama ubi kentang. Gaul sebati semua bahan. Tunggu sehingga mendidih dan boleh masukkan sos tomato, garam dan gula secukupnya. Gaul semua bahan.

4. Masa untuk masukkan tulang kambing bersama kacang dal dan gaul dengan semua bahan. Tambah air secukupnya. Tutup periuk dan masak sehingga ubi kentang empuk. Seterusnya masukkan susu sejat atau santan ikut mana yang anda suka dan kuantiti pun ikut citarasa.

5. Seterusnya masukkan buah tomato dan cili hijau. Tutup periuk dan biarkan sekejap hingga buah tomato dan cili hijau layu sedikit (pastikan cili hijau jangan terlalu layu atau lembik). Taburkan hirisan daun ketumbar dan boleh tutup Api.

Dalca Tulang Kambing siap untuk dihidangkan dan dimakan bersama Nasi atau best buat Cicah Roti. Selamat mencuba.

Dalca Tulang Kambing Sedap Dimakan Bersama Nasi atau Roti

Resepi Oleh: Roslan Eusof