
Kentang Sira Pedas Makan Dengan Nasi Pun Sedap
Assalamualaikum. Semalam saya buat snek kentang sira pedas ni. Bolehlah juga dipanggil snek. Kalau bukan snek pun boleh juga dimakan dengan nasi sekiranya malas atau tiada masa untuk memasak.
Kali ini saya gunakan 1kg kentang. Saya campurkan ikan bilis & sedikit bijan hitam di dalamnya. Nak campur dengan kacang tanah pun boleh. Saya tak ada stok kacang tanah di rumah. Just guna apa yang ada. Bijan pun optional. Terpulang nak campur atau tidak. Saya cadang nak letak bijan putih & hitam. Habis pula bijan putih di pasaraya. Jadi, guna sajalah yang hitam. Bijan tu pula, boleh disangai atau tidak. Terpulang kepada citarasa masing-masing.
OK lah. Jom semak resipi. Resipi ni mengikut citarasa saya. Kalau nak cuba, adjust la ikut citarasa & selera sendiri.
Bahan-Bahan:
- 1kg kentang
- Segenggam ikan bilis
- 1/4 cawan bijan hitam
- 2 biji bawang besar
- 8 ulas bawang putih
- 15 tangkai cili kering
- 2 tangkai cili merah
- 1 sdb asam jawa + 5 sdb air
- 2 1/2 sdb gula
- 1/2 sdb garam
Cara Penyediaan:
1. Bersihkan dan buang kotoran pada ikan bilis. Sangai bijan. Ketepikan. Kupas dan cuci kentang. Hiris nipis atau sagat halus. Rendam kentang selama 1/2 jam di dalam air garam dan bilas sehingga airnya jernih.
2. Goreng kentang dan ikan bilis hingga garing dalam minyak yang banyak. Tuskan minyak dan sejukkan. Kisar bawang besar, bawang putih dan cili. Tambahkan air asam jawa, gula dan garam. Tumis sehingga betul-betul garing dengan api sederhana supaya sambal tahan lama. Biarkan sejuk seketika.
3. Gaulkan kentang dan ikan bilis goreng yang telah disejukkan bersama sambal tumis. Taburkan bijan dan kacau sampai sekata. Simpan dalam bekas kedap udara supaya kentang dan ikan bilis kekal rangup.
Nota:
- Biarkan kentang & sambal sejuk sebelum digaul bagi mengekalkan kerangupan.
- Sekiranya tidak suka sambal yang banyak, gaulkan dengan hanya 1/2 dari sambal yang telah ditumis.
- Anda boleh campurkan kacang tanah yang telah digoreng bersama dengan kentang & ikan bilis.
Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah