
Cara Masak Bihun Goreng ala Restoran
Assalamualaikum. Kali ini, saya mendapat permintaan untuk menghasilkan bihun goreng yang sedikit gelap dari kebiasaan bihun goreng yang saya masak dan mempunyai rasa seperti yang dimakan di restoran. Alhamdulillah, hasilnya menepati citarasa dan ada rasa seperti bihun goreng yang dipesan ketika makan di restoran.
Pada saya, bihun yang sedap dan kena dengan citarasa saya adalah bihun yang tidak lembik (soggy). Jadi, bihun tidak perlulah direndam di dalam air panas. Cukup dengan merendam di dalam air paip. Saya juga tidak pernah mengalami masalah dengan apa jua jenama bihun yang ada di pasaran. Rahsia kesedapan bihun goreng adalah dengan menambahkan sedikit ikan bilis bersama dengan bahan kisar.
Bahan-Bahan (5-6 hidangan):
- 1 bungkus (350 g) bihun
- 1 keping dada ayam (dipotong dadu)
- Sedikit garam
- 1 cawan tauge
- 1 cawan kucai
- 1 1/2 cawan sawi
Bahan Kisar:
- 2 biji bawang merah
- 4 ulas bawang putih
- 10 tangkai cili kering (direndam di dalam air panas & dibuang biji)
- 2 sdb ikan bilis
- Campuran kicap:
- 1/8 cawan (2 sdb) kicap manis
- 1/8 cawan (2 sdb) kicap pekat
- Bahan hiasan:
- Bawang goreng
- Telur goreng
- Daun sup
- Cili merah
Cara Penyediaan:
1. Rendam bihun di dalam air paip seketika. Kemudian, bilas dan toskan air yang berlebihan. Kisar bawang merah, bawang putih, cili kering dan ikan bilis. Satukan kicap manis dan kicap pekat. Kacau rata. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Masukkan bahan kisar. Tumis sehingga pecah minyak. Masukkan ayam dan biar sehingga ayam masak. Masukkan pula bihun. Kacau rata. Masukkan campuran kicap. Kacau lagi sehingga sekata.
3. Tambahkan sedikit garam (jika perlu) dan biarkan bihun lembut. Kacau sekali-sekala supaya bihun tidak hangus. Masukkan tauge, kucai dan sawi. Kacau sekejap dan bihun goreng sedia untuk dihidangkan.
4. Akhir sekali, taburkan dengan bawang goreng, telur goreng, hirisan daun sup dan hirisan cili merah untuk kelihatan lebih menarik dan lebih menyelerakan. Selamat mencuba.
Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah