Telur Masak Tomato Masakan Cina Yang Simple dan Sedap
Semalam saya perasan ada soalan sis berkaitan masakan tanpa bawang. Nah, ini adalah salah satu menu tanpa guna bawang, masakan Cina yang simple dan sedap. Telur hancur dimasak bersama tomato. Kebanyakan masakan Cina tak menggunakan bawang. Berbeza dengan masakan Melayu dan India yang sinonim dengan bawang dan rempah ratus.
Saya dan anak-anak cukup gemar makan lauk ini. Tak perlu lauk lain pun takpe (tapi kena sediakan jugak lauk lain kalau kes lauk telur ni cepat habis Hehehe).
Bahan-Bahan Yang Diperlukan:
- 2 biji telur ayam (kocak)
- 2 biji tomato (potong)
- 2 batang daun bawang (hiris)
- 2 sudu sos pencicah Thai atau boleh juga guna sos cili/sos tomato. Guna salah satu antara tiga sos tersebut.
- Sedikit serbuk lada sulah (sekiranya ada)
- Sedikit air
- Sedikit garam
- Sedikit minyak masak
Cara Memasak:
1. Kocakkan telur sehingga hancur kekuningan dan tambahkan sedikit serbuk lada sulah. Panaskan minyak masak dan tumis hirisan daun bawang. Masukkan potongan tomato dan sedikit air. Masak hingga tomato menjadi lembik.
2. Seterusnya, masukkan 2 sudu sos pencicah Thai dan taburkan sedikit garam. Gaul sebati hingga tomato menjadi semakin lembik. Ketepikan tomato di sisi kuali. Di bahagian ruang kosong tu, tuangkan sedikit minyak masak. Kemudian masukkan telur, biarkan seketika sehingga telur masak.
3. Kacau perlahan telur. Jangan terlalu hancur. Agak-agak telur dan masak, boleh la gaulkan kesemuanya sehingga sebati. Akhir sekali taburkan hirisan daun bawang. Memang sedap dimakan.
Lagi Sedap Kalau Makan Dengan Sambal Hijau Minang Ni >> KLIK DI SINI
Resepi Oleh: Zurina Zulkefli