Resepi Masakan Cina Ayam Kung Pao

Resepi Masakan Cina Ayam Kung Pao

Hari ni saya nak kongsi masakan cina yang senang, ringkas dan tak mungkin tak jadi. Foolproof orang putih kata. Sesiapa pun boleh masak, dan mudah nak ubahsuai ikut citarasa sendiri.

Bahan-Bahan:

  • 500gm isi ayam
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar kicap pekat
  • 1 sudu besar cuka
  • 1 sudu besar minyak bijan
  • 1 sudu kecil tepung jagung
  • 1 biji lada benggala
  • 3-5 batang cili kering
  • 3 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 1 genggam gajus
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara Memasak:

1. Sediakan bahan-bahan satu tempat supaya tak kelam kabut. Hiris bawang merah dan bawang putih. Halia dan lada benggala dipotong julien(memanjang). Cili kering, potong pendek-pendek. Ayam dipotong kiub, kulit dibuang.

2. Gaulkan ayam dengan cuka, sos tiram, kicap pekat, minyak bijan dan tepung jagung. Letak garam secukup rasa. Perap! Kalau nak jimat masa, perap ayam dulu baru potong bawang semua tu.

3. Tumis bawang merah, bawang putih, dan halia sampai keemasan dan naik bau. Tumis pakai minyak kelapa sawit je.

4. Masukkan ayam yang dah diperap. Nampak warna ayam ni dah perang, dah serap perapan dia. Tumis isi ayam ni sampai empuk. Masukkan cili kering. Tumis lagi.

5. Masukkan benda alah ni. Saya panggil lada benggala. Kau orang panggil apa? Capsicum? Bell pepper? Sweet pepper?. Selain lada ni, boleh masukkan cendawan shitake, lobak merah, rebung, kacang buncis dan sebagainya.

6. Biasanya saya beli gajus yang dah siap panggang, tapi tadi lupa beli. Di rumah saya sentiasa ada gajus mentah, sebab isteri saya suka gajus mentah. Maka, kita pinjam gajus mentah dia sikit, dan panggang atas kuali. Lepas panggang, letak dalam Kung Pao kita tadi.

7. Siap!Masakan ni ringkas, dan pastinya ngam dengan citarasa tempatan. Ayamnya juicy, gajusnya rangup, dan sosnya seimbang masin-manis-pedas. Hidang dalam pinggan, dan makan dengan nasi panas. Terangkat! OK lah tu sahaja.

Resepi Masakan Cina Ayam Kung Pao

Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan