Sambal & Pencicah, Sayur

Sayur Pecal Jawa Hidangan Simple Tapi Enak

sayur-pecal-jawa-hidangan-simple-tapi-enak

Sayur Pecal Jawa Hidangan Simple Tapi Enak

Bahan Kuah Pecal:

  • Kacang tanah – 250 gram (boleh juga gunakan kacang tanah siap tumbuk beli di kedai)
  • Cili padi merah – 5 biji
  • Cili kering – 10 biji
  • Belacan – 2 inci
  • Isi Kencur atau Cekur – 5 biji
  • Bawang merah kecil – 5 ulas
  • Bawang putih – 5 ulas
  • Daun limau purut – 5 helai
  • Gula melaka – 1/2 biji (jika suka manis boleh tambah)
  • Garam*
  • Asam jawa*
  • Penyedap/Cukup Rasa*
  • Minyak*
  • Air*

*Secukupnya

Sayur-Sayuran:

  • Daun ubi kayu – Rebus dan perah air
  • Kangkung – Celur sebentar
  • Taugeh – Celur sebentar
  • Kacang panjang – Celur sebentar
  • Timun – Potong kecil

Bahan Sampingan:

  • Tauhu – Potong kecil & goreng
  • Tempe – Potong kecil & goreng

Cara Membuat:

1. Panaskan minyak dan goreng kacang tanah sehingga masak (pastikan gunakan api kecil/sederhana dan sentiasa kacau supaya tidak hangus). Ketepikan.

2. Goreng isi cekur, bawang merah, bawang putih dan cili padi sehingga layu, ketepikan. Goreng pula cili kering dan belacan sebentar sahaja, ketepikan.

3. Kisar kacang goreng, gula melaka dan semua bahan yang telah digoreng tadi menggunakan sedikit air, jangan kisar terlalu halus ye. Ikut selera masing-masing, bagi yang rajin boleh juga tumbuk kering menggunakan lesung. Jangan letak air pula dalam lesung tu sambil menumbuk kang tak boleh buka mata. Sebenarnya saya nak mudah kerja dan nak cepat siap tu kisar je mudah.

Cuba Resepi Ni:  Resepi Kuah Kacang

4. Masak sebentar di atas api bahan-bahan yang telah dikisar tadi dan letakkan garam, asam jawa, air dan penyedap. Pastikan rasanya seimbang ye, masin, manis, masam semua ada. Kalau kurang manis tambah gula ye. Saya masak semula supaya mudah nak seimbangkan/ratakan rasa dan supaya kuah lebih likat berkrim.

5. Akhir sekali letakkan daun limau purut. Sedia untuk dihidangkan dengan sayur-sayuran serta bahan sampingan.

Nota:

  1. Bagi yang tidak mahu masak semula bahan kisar di atas api, anda perlu TUMBUK/KISAR KERING kacang goreng dan bahan-bahan goreng tadi. Selepas dah ditumbuk/kisar halus boleh terus TUANG AIR PANAS dan masukkan garam, asam jawa, gula melaka dan penyedap.
  2. Bagi yang gunakan kacang tanah siap tumbuk tu maka tidak perlu kisar lagi kacangnya. Atau boleh ambik separuh dan kisar bersama bahan-bahan lain. Selebihnya tidak perlu kisar supaya ada tekstur kasar-kasar. Saya suka kisar halus sedikit supaya kuah lebih berkrim dan likat.
Sayur Pecal Jawa Hidangan Simple Tapi Enak

Resepi Oleh: Azlan Syazani Adanan