Resepi Viral Beger Malaysia ala Kayangan
Meriah petang ni, gebunya mantul nampak kerenyukkan kulit begernya di situ.
Bahan-Bahan: 50 biji
Bahan Doh –
- 1kg tepung roti/high protein flour
- 150gm gula pasir halus
- 40gm susu tepung
- 1 paket mauripan (11gm)
- 5gm bread improver
- 1/2 sudu kecil garam halus
- 1 biji telur
- 550gm air sejuk dari peti ais
- 100gm marjerin
Bahan Sambal –
- 2 labu bawang besar *
- 10 ulas bawang merah *
- 4 ulas bawang putih *
- 1/2 genggam ikan bilis halus *
- 20-30 tangkai cili kering – rendam dengan air panas
- 1 ketul gula melaka (200gm)
- 1 s/b air asam jawa
- Garam dan gula secukup rasa
- Minyak masak untuk menumis
Bahan Sampingan –
- Salad
- Timun – jika suka (optional)
Cara Membuat:
Sediakan Sambal Bilis –
1. Kisar bahan bertanda (*) dahulu, kemudian kisar cili kering asing. Semasa mengisar cili kering letak sedikit air dan minyak masak supaya biji cili hancur.
2. Panaskan minyak secukupnya, lebih pun boleh, tumis bahan kisar yang bertanda (*) sehingga sedikit garing. Kemudian masukkan cili kisar, kacau sekata dan terus masukkan gula merah serta gula pasir (ikut kemanisan yang diingini).
3. Masak dengan api yang perlahan. Apabila cili dah garing, masukkan air sedikit demi sedikit hingga sambal kelihatan warna merah gelap dan terbit minyak.
4. Akhir sekali, masukkan air asam jawa dan garam secukup rasa. Sambal bilis lagi lama dimasak lagi sedap.
Buat Beger – Saya guna BM (Bread Maker)
1. Dahulukan bahan basah, kemudian diikuti bahan kering dan gaul sekata. Setting doh biarkan BM buat kerja menguli tepung hingga jadi doh elastik.
2. Kemudian terus timbang doh sebanyak 35gm, bulatkan kemas dan licin. Tutup doh dengan plastik wrap di atasnya, biarkan rehat selama 30 minit.
3. Panaskan minyak yang banyak, semasa panaskan minyak masukkan 3 sudu besar shorterning dan biarkan sebentar hingga larut. Tujuannya untuk dapatkan warna beger yang cantik.
4. Semasa menggoreng, balikkan sebelah-sebelah, kemudian angkat dan toskan minyak. Apabila sejuk, belah beger, jangan bagi putus, masukkan sambal bilis dan salad. Sedia untuk dinikmati.
Nota:
- Boleh guna mesin/mixer – Letak bahan kering dahulu mixer speed 1, kemudian masukkan air sejuk dan telur perlahan-lahan guna speed 2, apabila semua sebati masukkan marjerin.
- Atau nak uli tangan silakan.
- Jika berniaga, boleh skip letak timun kerana timun cepat berair nanti beger tak sedap.
- Jangan khuatir jika sambal banyak minyak, sendukkan aje minyak lebih tu alih ke bekas lain.
- Sudukan sambal sahaja jika nak isi dalam beger, elakkan beger dari berminyak.
Resepi Oleh: Julia Aleen Aireish