Resepi Street Food Timur Tengah Shawarma Ayam
Semasa saya ke Tanah Suci Mekah beberapa tahun lepas untuk mengerjakan ibadah umrah, saya dan rombongan ditempatkan di sebuah hotel yang letaknya tak jauh dari kedai yang menjual Shawarma. Ramai antara kami yang tidak melepaskan peluang merasai keenakan Shawarma yang sememangnya terkenal sebagai ‘street food’ di negara Arab. Walaupun di negara kita juga sudah banyak kedai makanan Timur Tengah yang menjual Shawarma, saya tetap ingin mencuba menyediakannya sendiri untuk keluarga tersayang dengan menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati di negara kita.
Mission Supersoft Wraps sangat sesuai digunakan dalam resipi ini bagi menggantikan roti Arab yang biasa digunakan untuk membalut Shawarma. Anak-anak menjadi sangat teruja untuk mencuba Shawarma ini terutama apabila melihat daging ayam disusun bertingkat-tingkat secara menegak seakan yang biasa terdapat di restauran Timur Tengah, cuma ianya dibuat dalam saiz yang jauh lebih kecil.
Bahan-Bahan:
4 keping Mission Super Soft Wraps >> https://shope.ee/3poSsylcem
1 kg ayam bahagian dada – dibuang tulang
1/2 cawan kobis ungu dihiris nipis
1 labu bawang besar dipotong bulat
8 helai daun salad
1/2 biji cili Cameron (bell pepper) – dihiris memanjang
8 biji tomato ceri – dihiris
3 sudu besar madu + 1/4 sudu teh air panas
1 biji nenas – dibuang kulit
1 batang lidi satay
Kertas timah
Bahan Perap Ayam:
1/4 cawan Greek yougurt
2 sudu besar minyak zaitun
2 sudu teh jus lemon
1/2 labu bawang besar saiz sederhana – kisar halus
6 ulas bawang putih – kisar halus
1/2 sudu besar smoked paprika
1 sudu teh chili flakes atau serbuk cili (ikut kepedasan yang disukai)
1 sudu teh herba oregano
5 sudu teh serbuk ketumbar
1 1/2 sudu teh serbuk jintan putih
1/2 sudu teh serbuk lada hitam
Garam secukup rasa
Bahan Sos:
1/2 cawan mayonnaise
1/2 cawan Greek yougurt
1 ulas bawang putih dicincang halus
3/4 sudu teh jus lemon
1 sudu besar daun parsley dicincang halus
1 sudu besar daun pudina dicincang halus
1/4 sudu teh serbuk lada hitam
1/2 sudu teh madu
Garam secukup rasa
Cara membuatnya:
1. Ayam dibersihkan dan ditoskan airnya. Hiris ayam agak lebar tetapi nipis (3/4 – 1 cm tebal). Ketepikan. Satukan semua bahan untuk perap ayam dan gaul sebati. Masukkan ke dalam bekas berisi ayam dan gaul rata. Tutup bekas dan simpan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 4 jam atau semalaman.
2. Untuk membakar ayam, potong pangkal nenas setebal 2 1/2 inci dan cucukkan bahagian tengah nenas dengan lidi satay (bahagian tajam mengadap ke atas). Alaskan dulang pembakar dengan kertas timah dan letakkan nenas tadi diatasnya.
3. Keluarkan ayam dari peti ais dan cucukkan satu persatu potongan ayam pada lidi satay hingga habis (rujuk gambar yang disediakan). Potong hujung nenas setebal 1 1/2 inci dan cucukkan pada bahagian atas sekali.
4. Bakar ayam pada suhu 200 darjah selama 60-90 minit hingga masak. Keluarkan ayam dari ketuhar dan sapu bahagian luarnya dengan bancuhan madu. Bakar semula selama 2-3 minit. Bila siap bolehlah dikeluarkan dari ketuhar.
5. Sementara itu, sediakan sos untuk shawarma. Satukan semua bahan untuk sos dan gaul hingga sebati. Suaikan rasa dan simpan dalam petias hingga diperlukan. Panaskan pula kuali leper dan letakkan sekeping Mission Supersoft Wraps. Panaskan sebentar, kemudian angkat. Ulang hingga habis.
6. Untuk menghidangkan Shawarma, hiris nipis ayam yang siap dipanggang tadi. Bentangkan Mission Supersoft Wrap dan susun isi ayam serta sayuran di atasnya. Tuangkan pula sos di atasnya. Gulung atau bungkus wrap dengan kemas. Sedia untuk dihidangkan.
Selamat mencuba!
Oleh: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi