Makanan Laut

Resepi Sotong Percik Penuh Rasa dan Aroma

resepi-sotong-percik-penuh-rasa-dan-aroma

Resepi Sotong Percik Penuh Rasa dan Aroma

Dah lama tak masak untuk orang rumah. Tengok peti ais ada sotong, jadi kita pun bertukanglah di dapur. Cuba masak sotong percik yang viral hari tu lah pula! Lain sikit, kan?. Masakan ada aroma laut yang diserikan rasa lemak dan pedas, ada aroma kunyit dan serai. Jika perasa manis, masam dan manis dia tepat, memang terangkat. Kalau bakar, lagi padu!.

Bahan-Bahan:

  • 300gm sotong
  • 5 biji bawang merah kecil
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 batang serai
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 inci halia
  • 5-6 sudu santan
  • 5 sudu cili kisar
  • 1 cubit belacan
  • ¼ sudu kecil asam jawa
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara Memasak:

1. Sotong basuh bersih. Ada orang suka basuh dan bersihkan sampai tak ada kulit langsung, ada yang tak kisah kalau ada kulit tu. Terpulang, ikut citarasa masing-masing.

2. Bawang merah, bawang putih, halia, kunyit, serai, kita kisar halus. Kalau tak ada cili yang dah siap kisar, boleh rendam cili kering dahulu, dan kisar dengan bahan-bahan ni sekali.

3. Saya dah ada stok cili kisar, tapi rasa macam nak tambah ke dalam bahan kisar ni sekarang, biar banyak sikit dalam balang pengisar ni. Kalau sikit sangat isinya, sukar nak kisar.

4. Tumis bahan kisar sampai naik bau. Gunakan api sederhana, kacau sekali sekala, sehingga pecah minyak. Jangan jadi macam saya, lupa kacau, ada hangus sikit tumisan tadi. Hehe!

5. OK masukkan belacan bakar yang comel ini. Walaupun comel, ia boleh menyebabkan kegatalan, selsema, bersin, dan bengkak-bengkak pada orang yang alahan kepadanya. Hati-hati.

Cuba Resepi Ni:  Resepi Lala Buttermilk Cheese Lemak Berkrim

6. Bila dah kacau rata belacan dalam tumisan, boleh masukkan santan. Pakai santan yang diperah segar lebih sedap. Saya gunakan santan kotak, sebab masa itu emas. Hehe.

7. Masukkan sotong, besarkan api. Tutup kuali. Biarkan air sotong keluar. Sepatutnya sotong ni kena lumur dengan tumisan, kemudian di bakar, namun kerana saya malas nak basuh banyak peralatan jadi kita masak je dalam kuali ni. Masa itu emas, kawan-kawan! Jangan bazir.

8. OK bila sotong dah masak, boleh perasakan masakan dengan asam jawa, gula dan garam secukup rasa. Jumlah yang saya beri tadi tu anggaran sahaja, masukkanlah ikut citarasa sendiri.

9. OK dah siap! Alamak kecil pula sotong ni. Tak menarik langsung. Sedih betul. Akibat tadi tumisan dan ada garing sikit, warna percik ni agak gelap. Sepatutnya cerah sikit.

10. Tak apa, kita susun dalam mangkuk hidangan cantik-cantik. Macam ni! Nampak macam sambal sotong, tapi kena tunggu rasa baru dapat bezakan kelainan dia.

Resepi Sotong Percik Penuh Rasa dan Aroma

Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan