Resepi Solok Lada Hijau Siam Inti Lebih Padat
Rare tau menu solok lada nih. Hidangan orang lama yang banyak nilai seninya. Nak mengembalikan nostalgia cara masakan mereka tentulah kena buat sendiri. Ikut apa bahan yang mereka guna.
Contohnya kena ada lada hijau siam. Tu yang penting sekali. Kurang sedap kalau buat dengan lada hijau terang satu lagi tu. Teksturnya keras dan kurang bau wangi. Resepi cikgu guna ni semestinya dari mak la. Duduk jauh time bulan puasa begini pula memang teringat-ingat. Nasib baik ada stok lada hijau dalam peti.
Mula-mula makan solok lada ni dengan set ikan singgang. Lepas tu ada lebih cikgu buat frozen. Makan pula dengan nasi kerabu. Fuhhhh kebabomm Lebihan solok lada cikgu frozen. Bolehlah makan berulang bila-bila masa.
1. Okeh. Jomlah kita mulakan masak solok lada gemuk versi cikgu afy. Bahan tumbuk 1;
- 4 biji bawang merah saiz syiling 50sen
- 1/2 hiris nipis halia
- 1 ulas kecil bawang putih
- 1/3 sudu kecil lada hitam
2. Bahan tumbuk 2;
- 4 ekor ikan selayang/sardin mentah saiz M – asingkan tulang
Masukkan bahan tumbuk 2 ke dalam batu lesung tadi. Sebatikan sehingga semua hancur.
3. Bahan tumbuk 3;
Sediakan sebiji isi kelapa parut putih/muda. Kena guna yang putih/muda baru jeliro rasanya.
4. Perasakan kesemua bahan tumbuk tadi dengan;
- 3 1/2 sudu besar gula
- 2 sudu kecil kfc garam
- 1 sudu kecil serbuk perasa Hilal @ perencah secukup rasa
Atau kuantiti perasa ini terpulang kepada citarasa sendiri. Perah 1/2 biji limau kasturi tanpa biji dalam bahan tumbuk (mengelakkan rasa hanyir ikan dan solok menjadi lebih sedap).
5. Kemudian, masukkan sedikit demi sedikit kelapa parut untuk ditumbuk agak lumat bersama bahan 1 & 2 tadi. Cikgu tak campur telur ya. Ada yang versi masukkan telur sedikit nak bagi lekat masa kepal dan ada rasa lemak intinya. Cikgu tak letak sebab cikgu ikut resepi Mok sepenuhnya.
6. Seterusnya, sediakan lada besar hijau Siam antara 10-12 tangkai (lada Siam ni yang patut diguna untuk menyedapkan lagi rasa solok). Lada dibelah dua. Jangan sampai terputus dua. Buang urat dan bijinya di dalam (pakai sarung plastik untuk elak tangan berasa pijar). Kalau nak tambah dengan petola ular pun boleh. Ini cikgu guna petola biasa je.
7. Sumbat isi kelapa tadi dalam perut lada. Caranya, isi kelapa dikepal-kepal sedikit supaya semasa direbus nanti tidak mudah tertanggal. Saiz kepal tu terpulang pada kawan cikgu. Yang cikgu buat ni versi gemuk sihat. Makan sebiji pun dah memadai. Yang sebiji bulat tu wajib kena buat. Dah siap mesti berebut ratah yang kecik tu dulu. Hii..
8. Kemudian untuk masakkan solok lada ini, cikgu guna cara rebus. Boleh juga guna cara kukus. Terpulang ya. Tumbuk 2 batang serai. Carik-carikkan untuk disusun pada bahagian dalam bawah periuk sebagai pelapiknya untuk elak bahagian bawah hangit.
9. Boleh juga campurkan sekali dengan beberapa helai daun serai yang dipotong 2. Atau kalau ada kacang panjang lagi sedap. Susun je berlingkar-lingkar untuk lapik solok ini. Kemudian susunlah cantik-cantik solok lada tadi.
10. Kemudian, masukkan 3/4 cawan santan yang telah dicampur dengan 1/2 cawan air. Part di bawah ini pun penting ya. Masukkan sekali lagi;
- 1 sudu besar gula
- 1 sudu kecil kfc garam
- secubit perasa
Bahan ini untuk ditabur rata pada bahagian atas solok lada. Tambahan perasa ini perlu dibuat kerana santan yang dicampurkan akan mengurangkan rasa solok tadi.
11. Masak solok lada dalam api perlahan kira-kira 30 minit atau sehingga lada melembut berubah warna dan isinya menjadi sedikit kemas mengecut. Tutup periuk semasa rebus ini.
Siap solok lada hijau siam yang gemuk mengancam ini. Solok lada makan dengan nasi kerabu kebabomm begini. Adehhh tak tahu nak kata apa dahh.
Resepi Oleh: Afy AL Habibi