Resepi Nasi Kerabu Golok

Resepi Nasi Kerabu Golok

Nasi kerabu ada dua gaya. Satu lagi bertumis. Kelainannya nasi kerabu golok ni saya buat versi diet. Ganti guna gula dan garam yang lebih sesuai dan kurangkan kuantitinya. Nasi pula saya masak menggunakan 100% bunga telang. Harum pula tu baunya. Memang padu!

Saya ringkaskan resepinya di bawah ini atau boleh follow fb saya untuk resepi bergambar yang lebih lengkap. Banyak lagi resepi lain yang saya ada dan bakal menyusul.

Resepi Kelapa Parut

1. Sangai sebiji kelapa parut sehingga kekuningan. Kisar kering seketika untuk rupa yang lebih halus. Ketepikan.

2. Sediakan bahan kisar;

  • 1 biji bawang merah
  • 1 ulas bawang putih
  • sehiris nipis halia
  • sebatang serai

2. Masukkan semua bahan tadi dalam bekas pengisar. Tambahkan 1 sudu besar ‘brown sugar low GI’ bagi menggantikan gula Melaka atau gula putih.

3. Masukkan juga 1/2 sudu besar garam bukit serta 1 sudu besar serbuk lada hitam. Kisar tanpa menggunakan air. Atau ditumbuk.

4. Satukan bahan yang telah dikisar dalam kelapa parut tadi. Gaul sekata. Sangai semula menggunakan api perlahan untuk mengelakkan kelapa cepat rosak. Biarkan 2-3 minit sebelum ditutup apinya.

Isi Ikan

1. Rebus 7-8 ekor ikan sardin atau selayang. Caranya, susun ikan dalam periuk. Masukkan 1 sudu besar cuka, 2 keping asam gelugur, 2 hiris lengkuas, 1/2 sudu besar garam bukit dan 1/2 inci ‘nise’. Tambahkan sedikit air. Rebus sehingga air ikan sedikit kering.

2. Kemudian, asingkan tulang dan isi ikan. Tumbuk isi ikan sedikit lumat. Masukkan isi ikan dalam kuali. Tambahkan bahan di bawah;

  • 1/2 sudu besar serbuk lada hitam
  • 1/2 sudu besar serbuk lada putih
  • secubit garam bukit

3. Gaul sekata. Seterusnya sangai selama 5-6 minit atau sehingga isi ikan sedikit kering sebelum ditutup apinya.

Ayam Bakar Blackpepper

1. Bahan-bahannya;

  • 4 ketul ayam
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 sudu kecil serbuk lada hitam
  • 3 ulas bawang putih yang ditumbuk lumat
  • secubit dua serbuk lada
  • 1 sudu kecil garam bukit

2. Gaul rata. Perap selama 1/2 jam. Masukkan 1/2 sudu besar minyak atas pan. Kemudian bakar ayam sehingga masak.

Nasi Berherba

1. Bahan-bahannya;

  • 10 kuntum bunga telang
  • Air yang telah disukat sesuai untuk beras masak

2. Buang tangkai bunga telang. Kemudian kisar sehingga lumat. Setelah beras dicuci bersih, masukkan air bunga telang tadi.

3. Seterusnya, masukkan herba;

  • sehelai daun kunyit
  • 1 batang serai diketuk hujungnya
  • 2 hiris halia
  • 2 helai daun limau purut

4. Masaklah nasi seperti biasa.

Sambal Lada Jantan

1. Bahan-bahannya;

  • segenggam cili padi merah
  • 1 biji lemon – ambil jusnya
  • 1/2 sudu kecil garam bukit
  • 1/2 sudu kecil ‘brown sugar’
  • sedikit air

2. Kisar semua bahan di atas sehingga sedikit lumat. Untuk menghasilkan rasa sambal yang sedap dan kurang pedas, seeloknya sambal dibuat lebih awal.

Budu

1. Bahan-bahannya;

  • semangkuk budu apa-apa jenama
  • perahan jus lemon

2. Satukan dalam mangkuk. Hiaskan dengan cili padi merah dan hijau.

Ulam-Ulaman

Hiris halus;

  • daun kengsum
  • daun selom
  • ulam raja
  • daun kunyit
  • bunga kantan
  • serai
  • timun batang Jepun
  • taugeh

Cara Penyediaan:

Nasi Kerabu Golok ‘Diet Style’

  • Nasi senggengam
  • 1 sudu besar kelapa parut
  • 1 sudu besar isi ikan
  • 1 keping dada ayam bakar
  • 2 genggam ulam
  • 1 sudu kecil (kfc) sambal jantan
  • 1 sudu kecil (kfc) budu

Gaul rata semua item. Siap resepi dan rasa nasi kerabu golok ini memang terbaik!

Semoga bermanfaat.

Resepi Nasi Kerabu Golok

Resepi Oleh: Afy AL Habibi