
Resepi Roti Arab dan Kari Daging Burger Cincang
Roti Arab ialah kegemaran bapa mertua dan anak-anak. Memang sedap jika makan dengan kari daging cincang. Daging tak ada? Daging burger pun boleh.
Bahan Roti Arab:
- 2 sudu teh yis/serbuk penaik
- 2 sudu gula
- 1 sudu teh garam
- 2 sudu makan marjerin/mentega
- 2 cawan tepung gandum
- 2 cawan tepung atta (tepung capati)
- 1 cawan air suam-suam kuku dan tambahan jika perlu
Cara Buat:
1. Aktifkan yis dengan gula dan air suam. Gaul garam dan serbuk penaik (jika tidak menggunakan yis) ke dalam tepung supaya rata. Gaulkan mentega/marjerin ke dalam tepung sehingga peroi seperti serbuk roti.
2. Tuang campuran yis dan air suam atau air suam sahaja jika guna serbuk penaik dan uli sehingga menjadi doh. Tambah air suam jika perlu untuk bentukkan doh. Bahagi doh kepada 16 bebola.
3. Panaskan minyak dengan api kuat. Apabila minyak panas, kecilkan api supaya sederhana. Canai doh dan goreng dalam minyak dalam. Doh akan menggelembung. Biarkan sekejap supaya garing sebelum dikalih.
4. Masak sehingga bahagian kedua garing. Keluarkan dari minyak dan toskan. Hidang dengan kari daging cincang, kuah dal atau susu pekat manis.
Bahan Kari Daging Burger Cincang:
- 6 keping daging burger (dipotong didadu)/500g daging cincang
- 1 batang carrot – didadu
- 1 labu bawang besar – didadu
- 1 biji terung panjang – didadu
- 1 biji tomato – didadu/ 2 – 3 sudu makan sos tomato
- 4 sudu makan serbuk kari daging
- 2 sudu makan halia-bawang mesin
- 1 sudu teh serbuk kaskas (jika mahu)
- 1 sudu makan serbuk cili (jika mahu)
- 2 sudu makan serbuk stok ayam atau secukup rasa
- Garam dan lada hitam secukup rasa
- Air secukupnya untuk masakkan rempah dan empukkan sayur-sayuran dan daging
- Minyak untuk menumis
Cara Membuat:
1. Panaskan minyak. Tumis daging burger atau daging cincang sehingga garing sedikit. Masukkan sayur-sayuran, rempah dan air. Kacau dan biarkan sehingga empuk. Tambah air jika perlu.
2. Apabila empuk, perisakan dan tambah sedikit air. Tunggu sehingga pecah minyak. Matikan api. Siap untuk dihidangkan dengan roti Arab atau nasi.
Resepi Oleh: Siti Hazneza Abdul Hamid