
Resepi Rendang Siat Macam Serunding Tapi Rasa Rendang
Rendang siat. Lebih kurang macam serunding, tapi rasa rendang. Daging tu direbus dalam santan cair dan sedikit garam, disiat-siat dan kemudian di masak macam rendang hingga tahap kering yang diinginkan. Sedap dihidang dihari Raya dengan ketupat palas, lemang, pulut kuning atau Nasi impit. Buat inti pulut pun sedap.
Bagi sayalah buat inti sandwich dengan roti Gardenia sedap, makan dengan nasi panas sedap, cicah ubi rebus lagi sedap dan jangan terkejut, saya pernah tabur buat topping pizza.. pun sedap. Dulu kalau anak nak balik asrama, mesti ada yang emak atau nenek buatkan macam ni, kan?
Saya buat rendang ni kering, garing sebab nak tahan lama. Tapi kalau nak dia lembab sikit pun boleh, cuma dia memang tak berkuah ya? Dia jenis rendang kering. Cuma tahap kering tu boleh adjust ikut suka. Sedapnya rendang jenis ni sebab banyak guna bawang hiris. Jumlah bawang sama banyak dengan daging (1kg daging, 1kg bawang). Dah alang renyah membuatnya, kerisik pun sebaiknya buat sendiri.
Silakan buat, dan jika ada yang nak buat jualan sempena Hari Raya ni, gunalah resepi ni. Saya halalkan. Semoga ada manfaatnya untuk kita. Bahan dan cara membuatnya di bawah;
1. Sekilo daging di rebus dalam santan cair dan sedikit garam hingga empuk. Bila dah sejuk. Siat-siat halus daging tu. Ada orang kata kalau daging lembut boleh guna cake mixer nanti daging tu lerai. Saya ni “old school” sikit. Setakat buat untuk makan sendiri, saya suka siat sendiri. Suka tengok daging siat panjang-panjang.
2. Hiris bawang. Saya guna bawang besar sebab sini tak ada bawang kecil. Kalau guna bawang ros lagi sedap dan cepat hancur bawangnya. Banyak guna bawang tau. Kalau guna 1 kg daging, hirislah 1 kg bawang.
3. Blendkan semua ni hingga halus:
- Bawang Putih 1 labu
- Halia sebesar Ibu jari
- Lengkuas sebesar Ibu jari
- Serai 5 batang (nak lebih pun boleh)
- 3 bunga lawang
- 5 bunga cengkih
- 5 butir buah pelaga
- Sedikit kulit kayu manis
- 2 sudu kecil tiap satu – biji ketumbar, biji jintan putih, biji jintan manis
Bahan blend ni semua di tumis hingga garing dan wangi serta pecah minyak.
4. Bila bahan blend dah garing, masukkan cili kering yang dah di rebus dan diblend halus. Saya guna 20 batang cili kering yang tak pedas. Kalau suka pedas, adjust lah jumlah cili kering yang di kehendaki. Bila cili dah garing, masukkan bawang hiris. Kacau sehingga bawang bersalut rempah dan menjadi lembut.
5. Bila bawang dah mula lembut dan wangi, masukkan santan pekat (saya guna 800gm santan pekat dan air santan lebihan rebusan daging. Kacau hingga bawang menjadi lembut dan mula hancur. Rasa rempah ni. Tambah garam jika perlu dan sedikit gula.
6. Masukkan daging yang dah di siat. Kacau-kacau, masak lagi hingga bawang mula tak berapa nampak dan kuah makin mengering. Masukkan kerisik, saya guna 1 biji kelapa. Kacau lagi. Bila dah masuk kerisik, jangan tinggal. Sebab rendang ni senang sangkut di kuali dan hangus. Kacau-kacau-kacau.
7. Bila dah mula kering, masukkan hirisan daun limau purut. Nak masukkan hirisan daun kunyit pun boleh. Saya tak letak sebab stok daun kunyit di sini dah habis. Saya kacau hingga kering dan garing sebab nak simpan lama sikit.
8. Yang nak makan saya ketepikan. Selebihnya saya simpan dalam freezer. Berbulan tahan. Keluarkan letak diluar lepas defrost, tak perlu panaskan balik. Makan pada suhu bilik saja. Oklah boleh buat rendang ni awal buat lauk tambahan Raya nanti.
Resepi Oleh: Ummu Ashraf