Daging

Resepi Rendang Tok Keluarga Cikgu Liza

resepi-rendang-tok-keluarga-cikgu-liza

Resepi Rendang Tok Keluarga Cikgu Liza

Alhamdulillah. Siap dah projek Rendang Tok Asli Negeri Perak resipi gabungan bondaku dan arwah makcikku yang merupakan resipi turun-temurun keluarga kami bagi kenduri-kendara dan katering keluarga. Tak dapat balik Perak, dapat buat menu orang Perak pun jadilah. Yang nak resipi ni Cikgu Liza kongsikan. Tapi kena gigihlah mengacau dalam 3 setengah jam ke 4 jam.

Bahan-Bahan:

  • 2.5kg daging (potong 4″x4″)
  • 50gm biji ketumbar (sangai & kisar halus-kering)
  • 25gm jintan manis (sangai & kisar halus-kering)
  • 10gm jintan putih (sangai & kisar halus-kering)
  • 50gm cili kering tanpa biji (sangai & kisar halus-kering)
  • 200gm serai (15 batang timbang setelah dibuang bahagian yang tidak perlu)*
  • 150gm halia (timbang setelah dibuang kulit)*
  • 25gm belacan bakar*
  • 25gm buah keras*
  • 250gm lengkuas dikisar dan ditoskan (timbang setelah dibuang kulit, air tos lengkuas guna separuh sahaja)
  • 750gm bawang merah (hiris nipis)
  • 1 sudu makan (5gm) serbuk lada hitam
  • 230gm (1 atau 2 ketul) gula kabung (hiris nipis)
  • 120gm rempah kari daging
  • 1.25kg santan pekat
  • 500gm kerisik
  • 1 batang kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 2-3 helai daun kunyit (hiris kasar)
  • Garam secukup rasa
Cuba Resepi Ni:  Cara Buat Karipap Pusing Inti Daging

Cara Memasak:

1. Kisar halus bahan bertanda (*) dengan sedikit air. Gaulkan rata daging dengan semua bahan dalam kuali kecuali santan, garam dan daun kunyit. Perapkan dalam 15 minit.

2. Masukkan santan dan kacau sehingga separuh kering menggunakan api sederhana. Tambahkan air sekiranya daging belum empuk dan ulangi langkah sehingga daging empuk (biasanya 3-4jam daging akan empuk betul, bergantung kepada jenis daging).

3. Perasakan dengan garam setelah daging empuk dan kuah separuh kering. Masukkan daun kunyit dan teruskan mengacau sehingga kuah kering.

Resepi Rendang Tok Keluarga Cikgu Liza

Resepi Oleh: Nor Azaliza Tarmizi