Resepi Red Velvet Cheese Brownies
RVCB ni la dessert yang saya nak makan sangat masa birthday saya tempoh hari. Tapi, masa tu bulan puasa dan saya tak ada rasa excited nak membuatnya. Daripada buat tak bersungguh dan ada kemungkinan tak menjadi, lebih baik saya tangguhkan. Alhamdulillah, kelmarin saya buat dan menjadi dengan baik sekali.
Tqvm insan-insan hebat Kak @shiela.d.dapoq, Kak @azlitaaziz & Kak Diana (skybluemelleymey) untuk original recipe, tips & idea. U know what I mean.
Memandangkan red velvet dan cheese merupakan favourite saya, jadi, saya buat versi lapisan cheese yang tebal walaupun saya hanya buat 1/2 dari resipi browniesnya. Puas hati. Tqvm again akak-akak semua. Habis kebanyakan blog saya rujuk semata-mata nak buat RVCB ni. Takut kalau tak jadi, membazir pulak nanti ????.
Bahan-Bahan (Loyang 7 inci x 7 inci):
Lapisan Brownies –
- 1/2 ketul (125g) mentega
- 1/4 cawan minyak jagung
- 1 cawan tepung kek
- 1 sdb serbuk koko
- 6 sdb (+-100ml) yogurt asli
- 1 sdt pewarna merah
- 2/3 cawan gula kastor
- 1 biji telur (A)
- 1/2 sdt pes vanila
- 1/2 sudu teh jus lemon
- 1/2 sudu teh soda bikarbonat
Lapisan Keju –
- 350g krim keju
- 1 cawan gula aising
- 1 biji telur (A)
- 1 sudu besar jus lemon
Cara Penyediaan:
1. Cairkan mentega dan campurkan bersama dengan minyak jagung. Ayak tepung kek dan serbuk koko. Campurkan yogurt dan pewarna merah. Kacau sehingga sekata.
2. Masukkan gula kastor dan telur ke dalam mangkuk. Pukul sehingga sebati selama lebih kurang 1 minit dengan menggunakan mixer. Masukkan campuran mentega cair dan minyak jagung. Pukul seketika sehingga sebati.
3. Masukkan yogurt dan pewarna merah yang telah dibancuh. Pukul lagi selama lebih kurang 30 saat. Masukkan tepung dan serbuk koko yang telah diayak sedikit demi sedikit. Pukul sekadar sebati sahaja.
4. Masukkan pes vanila. Pada masa yang sama, satukan jus lemon dan soda bikarbonat ke dalam bekas kecil. Kacau rata dan masukkan terus ke dalam adunan brownies. Pukul seketika selama lebih kurang 30 saat.
5. Ketepikan 2 sdb adunan yang akan digunakan untuk membuat corak pada lapisan atas. Masukkan adunan ke dalam loyang bersaiz 7 inci x 7 inci yang telah digris dengan mentega dan dialas dengan kertas pembakar yang dilebihkan sedikit supaya mudah untuk dikeluarkan nanti. Ratakan.
6. Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175C dengan api atas bawah, rak tengah selama 40-50 minit. Semasa brownies sedang dibakar, boleh sediakan untuk lapisan keju.
7. Pukul krim keju dengan mixer sehingga berkrim. Masukkan gula aising dan pukul lagi sehingga sebati. Masukkan telur. Pukul seketika sehingga sebati. Masukkan pula jus lemon. Kaup balik sehingga rata.
8. Setelah brownies masak dan masih panas, tuangkan adunan keju dan ratakan. Letakkan adunan brownies dan corakkan mengikut kreativiti masing-masing.
9. Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 150C dengan api atas bawah, rak tengah selama 30 minit. Setelah 30 minit, biarkan brownies seketika di dalam oven selama 10 minit sebelum dikeluarkan dan disejukkan sepenuhnya sebelum dipotong.
Nota:
- Resipi lapisan krim keju sesuai untuk brownies berukukuran 10 inci x 10 inci. Gandakan resipi lapisan brownies dan gunakan loyang 10 inci x 10 inci supaya lebih seimbang. Saya sukakan lapisan keju yang tebal. Jadi, saya gunakan terus 350g krim keju dalam resipi ini.
- Resipi asal menggunakan suhu 175C untuk membakar lapisan keju.
- Boleh abaikan langkah terakhir dalam resipi ini.
- Sukatan pewarna merah yang digunakan bergantung kepada jenis dan jenama pewarna.
Siap resepi mudah red velvet cheese brownies yang sedap, boleh la cuba.
Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah