Resepi Popia Basah Untuk Minum Petang
Gigih buat POPIA BASAH untuk minum petang ni. Last buat tahun 2015 lamanya kan. Untuk resepi kulit popia sahaja, saya ambil dari satu blog yang telah saya olah resepinya mengikut cara saya.
Kulit Popia Sapu Guna Berus
Bahan-Bahan:
- 220 gm tepung gandum
- 300 ml air + 20 ml jika perlu
- 1 sdb tepung jagung (untuk elak kulit cepat koyak)
- 1 sdb cuka
- 1sdb minyak
- 1 biji putih telur
- 1/2 sdk garam
Cara Buat Kulit Popia:
1. Campurkan garam dan tepung gandum hingga rata, tuangkan air dan masukkan putih telur, cuka minyak. Kacau hingga sebati.
2. Blend adunan untuk elakkan adunan berbintil. Sediakan kuali tidak melekat (non stick pan) dan berus kecil.
3. Panaskan kuali dengan api perlahan dan sapu adunan cepat-cepat atas kuali hingga rata dan menutupi permukaan kuali.
4. Kecilkan api, masak kulit hingga nampak kering. Terbalikkan permukaan sebelah lagi, masak sebentar dan ketepikan.
5. Bersihkan kuali dengan kain lembab tiap kali ulangi proses memasak sehingga semua adunan habis.
Sos Popia Basah
Bahan-Bahan:
- 4 sudu (b) cili kering mesin
- 10-12 biji buah kurma dibuang biji dimesin lumat
- 1 mangkuk bawang goreng
- 1 senduk kecil sos labu thai
- Gula secukup manis
- Asam jawa dan garam
Cara Buat Sos: Cili kering mesin dimasak bersama gula. Masukkan buah kurma mesin, asam jawa, sos labu thai dan juga bawang goreng yang diramas. Masak sampai pekat dan berkilat.
Inti Popia Basah
Bahan-Bahan:
- 1 biji sengkuang**
- 1 batang carrot**
- 3 ulas bawang putih ditumbuk lumat
- 1 keping isi dada ayam dicincang kasar
Cara Buat Inti: Tumis bawang putih hingga wangi. Masukkan isi ayam. Masak hingga air ayam kering dan masukkan bahan-bahan bertanda (**) yang disagat. Masukkan sedikit serbuk kunyit, gula, garam dan secukup rasa.
Telur Untuk Tabur
Bahan-Bahan:
- 2 biji telur
- 1 sdt maggie cukup rasa
- 1 sdt udang kering ditumbuk
Cara Membuat: Pukul telur hingga rata dan masukkan maggie secukup rasa dan udang kering. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tuang telur dan kacau rata hingga jadi scrambled egg dan masak hingga garing.
Cara Gulung Popia:
1. Sediakan kulit. Sapukan sos pada kulit dan letakkan inti. Gulung kemas-kemas, letakkan dalam pinggang dan sapukan sos sekali lagi di atasnya.
2. Taburkan bawang goreng, kacang goreng tumbuk dan telur tabur. Siap untuk hidangan petang. Selamat mencuba.
Resepi Oleh: Rozmaliza Omar