Resepi Nasi Maqlubah Ayam Mudah dan Menyelerakan

Resepi Nasi Maqlubah Ayam Mudah dan Menyelerakan

Zaman student dulu sempat belajar buat nasi maqlubah dari kawan-kawan berbangsa Arab sebab memang suka sangat nasi ni. Resipi di bawah ni akak share sepertimana yang akak pelajari, cuma buat sedikit saja pengubahsuaian menggunakan bahan mudah dapat di negara kita. Sukatan menggunakan sudu dan cawan metrik.

Bahan-Bahan:

  • Ayam dipotong ikut citarasa
  • 1 pek Pes Nasi Briyani Maggi
  • Air secukupnya untuk merebus ayam (lebih kurang 5 1/2 cawan)
  • 3 cawan beras basmathi – bilas, rendam sejam dan toskan
  • 1 labu bawang besar – kisar
  • 3 – 4 ulas bawang putih – kisar
  • Kentang – dibelah-belah
  • Cauliflower – dipotong kasar
  • Terung panjang – dipotong-potong
  • Minyak masak (boleh campur butter atau marjerin jika suka)
  • Garam
  • Serbuk lada sulah
  • Serbuk lada hitam yang kasar

Cara Membuatnya:

1. Jerang lebih kurang 5 1/2 – 6 cawan metrik air bersama bawang besar dan bawang putih kisar, 1/2 sudu teh garam dan 1/2 sudu teh serbuk lada hitam kasar hingga mendidih. Kemudian masukkan ayam dan masak hingga ayam empuk (lebih kurang 20 minit).

2. Sementara itu panaskan minyak untuk shallow fry (boleh campur butter atau marjerin). Kentang, cauliflower dan terung digaul dengan garam serta serbuk lada putih dan lada hitam. Goreng sayuran ni secara berasingan hingga kuning keemasan. Angkat, toskan minyak dan ketepikan.

3. Bila ayam telah empuk, keluarkan ayam dari air rebusan dan gaul bersama garam, serbuk lada dan serbuk kunyit. Panaskan baki minyak (tambah minyak secukupnya jika perlu untuk shallow fry) dan goreng ayam hingga kekuningan. Angkat dan toskan minyaknya.

4. Susun ayam dalam periuk (boleh juga guna rice cooker). Kemudian susun pula sayuran di atasnya. Masukkan pula beras basmathi yang telah direndam sejam dan ditoskan airnya. Ketepikan sebentar.

5. Panaskan 2 sudu besar baki minyak menggoreng ayam dan tumis perencah Briyani Maggi hingga wangi (tinggalkan sedikit baki minyak goreng ayam untuk memasak sup). Masukkan air rebusan ayam secukupnya mengikut jenis serta mutu beras digunakan (saya guna lebih kurang 3 1/2 cawan metrik air rebusan).

6. Bila mendidih, tuangkan ke dalam periuk berisi beras dan bahan untuk dimasak tadi. Tanak nasi seperti biasa hingga masak. Bila nasi sudah masak, biar dulu seketika sebelum diterbalikkan ke atas bekas hidangan untuk dihidangkan.

Bahan Sup Ringkas:

  • Baki air rebusan ayam
  • Serbuk lada sulah
  • Kiub ayam jika suka
  • Garam
  • Hirisan daun sup dan daun bawang
  • Bawang goreng
  • Sedikit lebihan minyak menggoreng ayam dan sayuran

Cara Buat: Satukan semua bahan dan masak hingga mendidih sebentar.

Nota: Biasanya maqlubah ni dihidangkan dgn cara terbalikkan periuk ke atas bekas hidangan tp disebabkan ketiadaan talam atau bekas besar yang boleh menampung seperiuk nasi bersama lauk, jadi akak sendukkan saja ke dalam bekas hidangan.

Resepi Nasi Maqlubah Ayam Mudah dan Menyelerakan

Resepi Oleh: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi