Resipi Nasi Khao Mok Rempah Adun Sendiri

Resipi Nasi Khao Mok Rempah Adun Sendiri

Hi semua, jom buat sendiri rempah nasi khao mok. Ada tak yang suka Nasi Khao Mok? Suka tapi tak ada rempah Khao Mok? Tak ada masalah. Jom buat kita sendiri. Sedikit pengenalan, Nasi Khao Mok atau Komok adalah versi nasi minyak atau nasi beriani yang berasal dari Thailand. Biasanya dimasak menggunakan beras basmathi. Tapi guna beras biasa pun tetap sedap.

Hidangannya simple sahaja iaitu ayam, nasi dan sos cili Thai. Yang penting, nasi dan sos cili mesti secukup rasa pedas manisnya, anak-anak makan bertambah-tambah tau. Hari ni KShima nak share cara masak Nasi Komok menggunakan beras biasa dan menggunakan rempah yang kita adun sendiri. Satu lagi, biasanya Nasi Komok dimasak menggunakan susu cair. Tapi Kshima gantikan santan KARA dan hasilnya tetap mabeles. Jom tengok bahan-bahan dan cara penyediaannya. Saiz hidangan; 4 – 5 orang.

Bahan Utama:

  • 1 ekor ayam saiz kecil – potong 4, nak potong 8 pun boleh.

Bahan Rempah Komok:

  • 3 sudu kecil serbuk kari ayam/daging
  • 2 sudu kecil serbuk kurma
  • 2 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 sudu kecil serbuk ketumbar
  • 1 sudu kecil serbuk jintan manis
  • 1/2 sudu kecil serbuk jintan putih

Satukan semua bahan-bahan.

Bahan Tumis:

  • 2 sudu besar minyak sapi
  • 1 batang serai – potong
  • 2 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 batang Kulit kayu manis
  • 2 bunga lawang
  • 2 biji buah pelaga
  • 2 bunga cengkih
  • 1 inci halia
  • 1 @ 2 Akar ketumbar
  • 1 tangkai daun kari

Bahan Nasi:

  • 3 cawan beras biasa – basuh bersih dan toskan
  • 3 1/4 cawan air
  • 100 g @ 1/2 kotak Santan Kara (200g)
  • Garam 2 sudu kecil
  • Gula 2 sudu kecil
  • 1 sudu kecil Serbuk Cukup rasa/Serbuk Mushroom
  • 2 – 3 batang daun ketumbar

Bahan Sos Cili Thai:

  • 3 biji cili besar
  • 10 -12 biji cili padi
  • 2 ulas bawang putih
  • Sedikit daun ketumbar – dicincang
  • 4 sudu besar gula
  • 2 sudu besar cuka makan
  • 1 1/2 sudu teh garam
  • 1 sudu kecil serbuk Cukup Rasa/Serbuk Mushroom
  • 1 cawan air
  • 1 sudu kecil tepung jagung dibancuh dengan sedikit air sebagai pemekat

Cara Memasak Nasi:

1. Ayam dibersihkan dan dipotong 4. Boleh juga kalau nak potong 8. Satukan rempah komok dan bancuh bersama sedikit air. Ketepikan. Panaskan minyak sapi dan masukkan bawang-bawang, halia, kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih, bunga lawang dan daun kari. Tumis hingga layu.

2. Masukkan pula serai dan akar ketumbar. Tumis hingga bau wangi. Masukkan bancuhan rempah dan tumis hingga sedikit pecah minyak. Masukkan ayam dan gaul hingga bersalut rempah. Masukkan santan, air, garam, gula dan serbuk Mushrooom. Masak hingga mendidih dan ayam masak sepenuhnya.

3. Keluarkan ayam yang dah masak. Masukkan beras dan 2/3 batang daun ketumbar ke dalam periuk. Gaul sebati. Susun ayam di atas nasi dan masak nasi seperti biasa. Cara ni akan hasilkan ayam yang lembut.

4. Boleh juga kalau tak nak masak ayam bersama nasi. Bila nasi dah masak, keluarkan ayam. Terus sapu sikit campuran minyak masak dan madu pada ayam, bakar airfryer 180C, selama 10 minit setiap belah. Ayam akan nampak kilat dan cantik.

5. Korang boleh juga nak masak nasi guna periuk elektrik ya. Pindahkan aja semua ke periuk elektrik dan masak cam biasa. Sambil menunggu nasi masak, jom kita buat sos cili.

Cara Buat Sos Cili Thai:

1. Dalam blender, masukkan cili, bawang putih dan 1 cawan air. Blend kasar. Sebab suka tengok color hijau merah dalam sos cili tu. Boleh juga kalau korang nak blend halus jika suka.

2. Masukkan dalam periuk, masukkan cuka, gula, garam, Mushroom Seasoning. Masak hingga mendidih. Dah mendidih masukkan bancuhan tepung jagung. Biarkan mendidih sekali lagi. Perasakan jika ada yang kurang. Padam api, masukkan daun ketumbar. Siap.

Nota: Serbuk Mushrooom adalah serbuk perasa yang dibuat dari cendawan. Ia memberikan rasa “umami” atau “sedap” dan tidak mengandungi MSG. Boleh digunakan untuk menggantikan kiub pati ayam dan Cukup Rasa jika suka atau jika allergic dengan MSG.

Siap untuk dihidangkan bersama potongan timun, limau nipis, daun salad (lupa beli), cili padi (bagi nampak cantik ja tu). Selamat Mencuba. Dah cuba, jangan lupa share hasil nasi komok korang ya.

Boleh Juga Guna Pes Rempah Nasi Komok Yang Dah Siap Ni, Lagi Mudah >> KLIK DI SINI

Resipi Nasi Khao Mok Rempah Adun Sendiri

Resipi Oleh: Shima Bakar