Resepi Lempeng Pisang Daun Pisang
Assalamualaikum dan selamat petang semua. Petang ni Cikgu Liza nak kongsikan resipi dan cara membuat lempeng pisang yang Cikgu Liza sediakan untuk minum petang tadi. Sedap betul makan waktu hujan-hujan ni.
Bahan-Bahan:
- 1.2kg pisang berangan yang telah dikupas kulit (Lebih kurang 16 biji pisang saiz besar. Kalau nak guna pisang emas atau pisang abu pun boleh.)
- 1/3 cawan gula pasir (Boleh tambah atau kurangkan ikut citarasa masing-masing. Kalau ikut tekak Cikgu Liza, sukatan ni dah cukup dah manisnya.)
- 1 sudu teh garam halus
- 1 1/2 cawan tepung gandum
- 1 biji kelapa parut putih digaul dengan sedikit garam
- Daun pisang secukupnya (Dilayur atas api dahulu)
- Sedikit minyak masak untuk melengser kuali
Cara Membuat:
1. Lenyekkan pisang hingga hancur. Masukkan gula pasir dan garam halus. Gaul sebati.
2. Masukkan tepung dan adun sebati. Tambahkan sedikit air sekiranya adunan terlalu pekat. Cikgu Liza tak tambah sebab kepekatan adunan yang dibuat dah menepati kepekatan yang dimahukan.
3. Sendukkan adunan ke atas daun pisang dan ratakan (jangan terlalu tebal). Taburkan sedikit kelapa parut di atas adunan yang diratakan tadi.
4. Lipat adunan (boleh rujuk gambar). Lengserkan kuali atau non stick pan (supaya daun pisang tidak melekat dan hangus).
5. Bakar lempeng pada kedua-dua belah sehingga masak. Gunakan api sederhana kecil dan terbalikkan lempeng menggunakan dua sudip agar tidak terbuka. Lempeng elok masak jika daun pisang tidak lagi melekat pada adunan lempeng.
Resepi Oleh: Nor Azaliza Tarmizi