Resepi Kuih Legend Tepung Bungkus Lemak Manis Sedap

Resepi Kuih Legend Tepung Bungkus Lemak Manis Sedap

Teringin sangat nak makan kuih legend tepung bungkus ni sebab dah lama sangat tak makan. Susah nak jumpa orang jual jadi buat sendiri la walaupun banyak langkah-langkahnya. Kite buat versi asal tau, inti balut dengan tepung pulut. Tapi selalu tengok orang tak balut, terus buh inti selepek atas badan tepung beras tu.

Alhamdulillah anak-anak dan suami suka makan, siap cakap sedap sangat. Terasa semua manis, masin lemaknya, lembut dan gedik gitu. Puas hati buat sendiri, layan makan panas-panas ketika hujan-hujan ni.

Bahan Inti Kelapa:

  • 1 biji kelapa parut putih
  • 1 cawan gula melaka
  • 4 sudu besar gula pasir
  • 1/4 sudu teh garam halus
  • 1/2 cawan air
  • 2 helai daun pandan – disimpul
  • 2 sudu besar tepung gandum

Bahan Tepung Balut Inti:

  • 2 cawan tepung pulut
  • 1 cawan air
  • Tepung Lemak (Badan)
  • 5 cawan santan sederhana pekat (2 cwn santan pekat + 3 cwn air)
  • 1 1/2 cawan tepung beras
  • 1 sudu teh membukit garam halus
  • Daun pisang secukupnya – dibasuh, potong & di layur atas api

Cara Membuat:

1. Inti Kelapa; Satukan gula melaka, gula pasir, garam, air dan daun pandan. Masak di atas api hingga gula larut dan mendidih. Masukkan kelapa. Kacau hingga rata dan air sedikit kering. Campurkan tepung gandum, kacau sebati dan air kering tapi masih lembap. Sejukkan inti dan gentel bulat saiz guli.

2. Bebola Pulut; Gaul tepung pulut dengan air hingga menjadi doh yang agak lembut. Teksturnya seperti adunan buah melaka tu ye. Leperkan doh dan masukkan inti kelapa. Balut nipis je, kemudian gentel bulat.

3. Tepung Lemak; Kacau sebati dulu santan, garam dan tepung beras. Kemudian, kacau sentiasa di atas api sederhana hingga pekat tapi bila di angkat dengan senduk ia masih meleleh.

4. Sudukan adunan tepung lemak di atas daun pisang, jangan tebal sangat. Selepas tu, letak 2 biji bebola inti. Kemudian, tutup dengan tepung lemak secara nipis di atasnya. Lipat dan balut kemas. Satu adunan saya dapat 36 biji.

5. Didihkankan pengukus dengan air. Kukus selama 20 minit di atas api yang sederhana. Hidangkan panas-panas atau sejuk dari peti ais.

Guna Periuk Pengukus Macam Ni Lebih Mudah >> KLIK DI SINI

Resepi Kuih Legend Tepung Bungkus Lemak Manis Sedap

Resepi Oleh: Nor Al Fatihah T-hah