
Resepi Kuih Gunting Tak Cukup Sebalang
Mana ada surirumah malas, kan? Ada je kerja berketik itu ini dari pagi sampai malam. Ni ha, petang Ahad, buat projek kuih gunting untuk kudapan isi rumah. Nanti sambil tengok tv, letak sepinggan, krup krap, cepat je habis. Kat sini tak ada daun kari, saya ganti dengan daun saderi atau daun sup dalam adunan. Modal tak lah terlalu mahal, tapi banyak juga dapatnya. Alhamdulillah. Bolehlah buat lepas rindu. Kalau ada yang nak buat jualan pun sesuai. InshaAllah sedap.
Bahan-Bahan:
- 1 kg tepung gandum
- Daun sup
Bahan Kisar Halus:
- 6 sudu besar udang kering
- 10 batang cili kering
- 1 sudu besar ketumbar
- 1 sudu besar jintan putih
- 1/2 sudu besar jintan manis
- 1 sudu kecil garam
Cara Membuat:
1. Kisar semua bahan kisar halus. Bila bila dah jadi serbuk, campurkan pada tepung gandum. Dalam pengisar kering, kisar segenggam daun sup. Dah halus, masukkan dalam adunan tepung.
2. Panaskan 5 sudu besar minyak masak. Bila dah panas, masukkan dalam adunan tepung. Gaul rata dengan sudu. Masukkan 1 biji telur dan uli sedikit.
3. Masukkan air sejuk berais sedikit demi sedikit dalam adunan tepung. Uli hingga seakan doh tepung karipap. Rehatkan adunan 20 minit.
4. Canai doh menjadi nipis, saya guna mesin pasta. Setting doh paling tebal 1, paling nipis 7. Saya canai sampai no. 6. Gunakan pemotong pasta lebar. Gaul dengan sedikit tepung agar tak melekat. Goreng.
5. Bila dah garing, angkat, toskan dan tabur sikit “garlic salt”. Tak letak pun tak apa, tapi saya suka letak. Sejukkan dan masukkan dalam balang kedap udara.
Resepi Oleh: Ummu Ashraf