
Hidangan Yang Mudah dan Ringkas Ayam Ungkep
Memasak adalah salah satu kemahiran hidup (survival skill). Hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan ini, kita masak hidangan yang mudah dan ringkas. Suami pun boleh masak.
Bahan-Bahan:
- 1/2 ekor ayam
- 5 biji bawang kecil
- 5 ulas bawang putih
- 2 batang cili hijau
- 1 inci halia
- 1 inci kunyit
- 1 batang serai
- 2 helai daun limau purut
- 1 sudu kecil ketumbar
- 1 sudu kecil jintan
- 1 keping asagaram secukup rasa
Cara Memasak:
1. Ayam dibersihkan. Buang lemaknya. Untuk masakan ni saya lebih gemar guna bahagian dada dan pinggul. Bahan-bahan segar seperti cili, kunyit, halia, bawang merah, dan bawang putih (kecuali serai) dipotong kasar dan dikisar. Boleh tambah cili padi jika suka pedas. Jika tiada kunyit hidup, guna kunyit serbuk pun OK juga.
2. Bergantung kepada kuasa mesin pengisar kalian, berapa kecil nak potong bahan segar. Mesin pengisar saya, kalau potong kasar begini, tambah sedikit minyak, InsyaAllah boleh kisar halus. Jika tak halus, tambah air sedikit.
3. Tumis! Sekarang warna putih, sekejap lagi warna tumisan ini akan berubah hijau, macam Hulk. Nampak, dah hijau. Sekarang masukkan jintan dan biji ketumbar. Saya gunakan serbuk, sebab tu je yang ada di dapur. Jika ikut lidah saya, pakai yang biji lebih sedap rasanya.
4. Masukkan serai yang telah dititik dan daun limau purut. Ini bahan yang wajib ada untuk beri rasa dan aroma yang khusus dalam hidangan ini. Sejujurnya daun dalam gambar ni adalah daun limau kasturi. Haha! Tak ada stok daun limau purut, pokoknya mati.
5. Masukkan ayam dengan cermat. “Ungkep” ni teknik masakan orang Jawa. Ayam direneh dalam rempah ratus dengan api kecil untuk masa lama agar rempah meresap ke dalam isi ayam.
6. Jadi, kita kenalah tambah air. Perasakan dengan garam. Kecilkan api, tutup kuali, dan reneh sehingga air kering. Pergilah masak sayur sekejap. Jangan pula lupa pada ayam yang kita tengah ungkep. Jadi ayam geseng/gosong karang! Ireng!.
7. OK, malas nak tunggu sampai betul-betul kering. Dah sampai tahap ni, kira dah jadilah tu. Haha! Angkat dari kuali dan hidang dengan nasi putih!
Ini kalau kalau ratah pun sedap! Rasa dia pedas, sitrus dan berempah. Tak mudah muak. Tak hairan kalau boleh habis berketul-ketul ayam sekali makan.
Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan