Kek

Resepi Kek Gulung Chiffon Dengan Filling Buttercream

resepi-kek-gulung-chiffon-dengan-filling-buttercream

Resepi Kek Gulung Chiffon Dengan Filling Buttercream

Resepi Chiffon Swissroll Cake atau Kek Gulung Chiffon saya follow sahabat dari Indonesia @linagui.kitchen dengan sedikit ubah suai cara penyediaan ikut kesesuaian cara saya. Resepi saya sertakan dibawah untuk anda cuba.

Bahan A:

  • 1 biji telur ~ saya guna gred B
  • 4 butir kuning telur
  • 80 gm tepung gandum / superfine flour
  • 80 gm susu cair / fresh milk
  • 50 gm minyak jagung
  • 1 sudu kecil esen vanilla ~ saya tambah

Bahan B:

  • 4 biji putih telur
  • 80 gm gula kastor
  • 1/2 sudu kecil jus limau nipis ~ saya guna cuka masakan

Cara Membuat:

1. Panaskan oven dengan suhu 170℃. Sediakan loyang persegi 26cm atau saya guna loyang 10×10 inci yang dialas dengan baking paper.

2. Panaskan minyak jagung sebentar sahaja, tutup api dan masukkan tepung gandum dan kacau hingga sebati. Msukkan susu cair dan kacau rata, kemudian masukkan 1 biji telur dengan 4 kuning telur. Kacau lagi hingga sebati dan biarkan sebentar.

3. Buat meringue putih telur pula. Masukkan putih telur ke dalam bekas mixer. Pukul hingga berbuih masukkan 1/3 gula kastor dan putar lagi. Masukkan gula hingga habis dan putar sehingga soft firm peak.

4. Ambil 1/3 adunan meringue dan masukkan ke dalam adunan kuning telur tadi. Whisk hingga sebati lalu masukkan ke dalam adunan meringue. Guna whisk dan kaup balik hingga sebati. Langkah terakhir, tukar kepada spatula dan kaup bawah adunan supaya semua adunan benar-benar sebati.

5. Ambil 1/3 adunan dan warnakan dengan warna pilihan (saya guna green apple/hijau apple). Selebihnya biarkan warna asal. Masukkan dan ratakan adunan warna asal ke dalam loyang yang kita sediakan awal tadi. Perlahan-lahan tindihkan pula dengan adunan warna hijau apple. Hati-hati semasa ratakan agar warna tidak tercampur.

Cuba Resepi Ni:  Kek Coklat Biskut Tanpa Bakar Rasa Coklat Yang Padu

6. Bakar adunan dengan suhu 180℃ selama 10 minit dan turunkan suhu 150℃ selama 20 minit (Oven saya, bakar guna suhu 170℃ selama 30 minit dan pusingkan loyang dan bakar lagi selama 5 minit). Suhu dan masa bergantung kesesuaian oven masing-masing.

7. Setelah masak, terbalikkan kek di atas baking paper yang bersih dan buangkan alas baking paper pada bawah kek dan biarkan sebentar. Sapukan dengan filling pilihan, saya guna simple buttercream dan perlahan-lahan gulungkan kek.

8. Bungkus dengan baking paper bersih tadi dan sejukkan sekurangnya 1 jam atau semalaman baru dapat potongan yang cantik. Untuk filling Buttercream kita boleh sediakan awal sebelum kita mula bake Kek Gulung ya.

Bahan-Bahan Simple Buttercream:

  • 125 gm unsalted butter
  • 75 gm gula icing
  • 1/2 sudu besar susu cair / fresh milk
  • 1/2 sudu kecil esen vanilla
  • Beberapa titis pewarna pilihan ~ jika suka

Cara Membuat: Pukul semua bahan (kecuali pewarna) hingga kembang dan gebu. Msukkan pewarna dan pukul lagi sehingga sebati. Sedia untuk digunakan.

Resepi Kek Gulung Chiffon Dengan Filling Buttercream

Resepi Oleh: Mawar Wilsa