
Resepi Cucur Rangup Makan Dengan Kuah Dhal
Alhamdulillah. Baru je habis minum petang ni, ingat lagi resepi cucur roti Gardenia saya pernah share sebelom ni?. Haaaa…. arini saya nak share resepi Cucur kembong Rangup Yis. Sedap sangat-sangat cucur ni, anak-anak pun suka makan Sebab dia rangup, ringan, sedap dan yang penting dapat banyak bila buat walaupun tepung sikit. Cicah pulak dengan kuah kacang, saya cicah dengan Kuah Dhal resepi dari jiran berbangsa India. So Sedap, resepi saya agak-agak je takde sukat-sukat.
Bahan Cucur Kembong Rangup Yis:
- Tepung gandum lebih kurang 3 cawan
- Bawang besar potong dadu atau hiris nipis-nipis
- Cili merah – hiris nipis
- Daun bawang – hiris halus-halus
- Kucai potong pendek-pendek
- Tauge (ni terpulang citarasa masing-masing ye)
- Nak letak ikan bilis boleh,udang dan sebagainya terpulang
- 1 sudu besar yis mauripan
- Air suam
- Garam
- Serbuk bawang putih (optional)
Cara Membuat:
1. Masuk semua bahan kecuali air dalam mangkuk, kemudian masukkan air sikit-sikit sambil gaul dan dapat adunan agak pekat. Jangan bancuh terlalu cair ye, asal boleh dijemput dengan jari comel-comel tu kira ok dah.
2. Kemudian perap dalam 1/2 jam. Bila adunan dah naik tu boleh la digoreng. Goreng agak garing dan toskan, siap cucur kembong rangup.
Bahan Kuah Dhal:
- 1/2 Peket kacang dhal merah (nak rendam 1/2 jam boleh tak rendam pun takpe. Janji basuh bersih-bersih. Rebus kacang hingga kacang dhal hancur. Kacang dhal merah ni cepat hancur sebab dia kecil-kecil.
- 1 sudu kecil halba campur
- 1 sudu besar serbuk kari daging/ikan
- Daun kari
- 5 tangkai cili kering di potong 2
- sedikit air asam jawa
- Serbuk kunyit
- garam dan penambah cukup rasa
- Isi ayam jika suka
- Ubi kentang potong kecil, terung, Carrot, kacang panjang boleh la dipotong kecil-kecil.
- Air secukupnya
- Minyak untuk menumis
Cara Memasak:
1. Rebus kacang dhal hingga kacang hancur, ketepikan. Tumis halba campur kemudian letak daun kari,cili kering. Bila dah naik bau masukkan serbuk kari dan serbuk kunyit.
2. Dah garing masukkan kacang dhal tadi, kacau-kacau dan tambah air mengikut kepekatan yang anda suka. Masukkan pula kentang, carrot dengan terung dan tunggu sampai semua bahan empuk.
3. Bila bahan dah empuk, masukkan air asam jawa, garam dan perasa. Kalau nak masukkan ayam juga boleh. Biar menggelegak dan semuanya sebati, tutup api dan sedia dinikmati.
Nota: Resepi ni tiada bawang merah, bawang putih mahupun halia. Jika nak letak boleh kisar semua ni dan tumis macam biasa diikuti bahan lain. Bagi saya macam ni pun dah sedap sangat.
Resepi Oleh: Noriza Jaja