
Resepi Bingka Jagung Guna Jagung Dalam Tin
Assalamualaikum. Bila buat bingka atau bengkang, saya suka buat sampai bahagian atasnya garing (bukan hangus) dan ada banyak bijan. Last week, saya buat bingka jagung ni. Saya guna jagung dalam tin. Boleh juga guna sweet corn atau jagung segar. Resipi ni saya ambil dari blog Pn. @sinaryatie dan olahnya untuk memuatkan dalam loyang 10×10 inci. Langkah-langkahnya pula saya ikut cara saya membuat bingka sebelum ini. Bolehlah cuba jika nak buat makan sendiri, untuk jamuan atau jualan. Hajat dihati nak bagi dekat seseorang tapi tak kesampaian. Makan sendirilah jawabnya.
Bahan-Bahan (Loyang 10×10 inci):
- 2 cawan tepung gandum
- 1/3 cwn tepung kastard
- 1 1/4 cawan gula pasir
- 1 1/4 cawan santan pekat
- 2 1/2 cawan air
- 5 biji telur (A)
- 1/2 sdt garam
- 1 tin jagung dalam air
- 2 1/2 sdb marjerin
- Sedikit pewarna kuning
- Bijan putih & bijan hitam (hiasan)
Cara Penyediaan:
1. Alas loyang dengan kertas minyak atau aluminum foil. Panaskan oven pada suhu 190°C, gris bahagian bawah dan tepi loyang dengan majerin. Panaskan loyang di dalam oven sebentar (lebih kurang 3 minit). Ketepikan.
2. Masukkan kesemua bahan di atas kecuali bijan dan jagung ke dalam pengisar. Kisar sehingga gebu dan semua bahan tercampur rata (lebih kurang 5 minit). Toskan jagung. Kisar seketika supaya tidak terlalu hancur (jika suka).
3. Campurkan jagung dan adunan yang telah dikisar. Kacau rata. Tuang adunan ke dalam loyang yang telah dipanaskan tadi. Taburkan bijan dan bakar selama 90-120 minit atau sehingga masak menggunakan api atas dan bawah. Sejukkan kuih sebelum dipotong.
Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah