
Resepi Apam Solo Inti Kacang Merah
Assalamualaikum. Apam solo ni asyik lalu lalang je setiap hari. Menggoda sungguh. OK. Nama apam ni apam solo bukan sebab orang yang membuatnya masih solo, single & available tapi sebab nama pengasasnya, Bengawan Solo. Peminat kuih-muih Nusantara mesti tau siapa dia ni.
Kalau ikut resipi ni, boleh dapat 40 biji tapi sebab saya dah asingkan sedikit adunan untuk diwarnakan, dapatlah 37 biji. Inti pula bolehlah pilih nak guna inti kelapa atau kacang merah. Saya guna inti kacang merah je sebab saya ada buat inti sendiri untuk membuat pau.
Bahan-Bahan (35-40 biji):
- 3 cawan tepung gandum
- 1 cawan tepung beras
- 1 cawan gula pasir
- 1 paket (11g) yis
- Secubit garam
- 1/4 cawan minyak
- 2 1/2 cawan air
- Pewarna makanan
- Inti kacang merah
Cara Penyediaan:
1. Satukan kesemua bahan kecuali pewarna makanan dan inti kacang merah ke dalam bekas. Kacau rata. Tutupkan bekas dan perap selama 30 minit sehingga adunan apam naik.
2. Didihkan air dan panaskan periuk kukusan. Oleskan acuan dengan sedikit minyak. Susun dan panaskan seketika di dalam pengukus yang telah dipanaskan.
3. Setelah 30 minit, kacau rata adunan apam yang telah diperap. Asingkan sedikit adunan apam dan warnakan dengan pewarna makanan. Kacau biar warna sekata. Ketepikan.
4. Masukkan 1 sudu besar adunan apam ke dalam setiap acuan. Masukkan pula 1 sudu kecil inti kacang merah dan tutup dengan 1 sudu besar adunan apam.
5. Letakkan atau paipkan sedikit adunan apam yang telah diwarnakan. Lorek dengan lidi bersih. Buat sehingga habis dan cepat kerana adunan apam cepat naik.
6. Kukus selama 15 minit dengan api sederhana besar. Setelah apam masak, keluarkan dari acuan dan sejukkan sebelum dihidangkan.
Nota: Adunan apam memang agak kental. Tidak perlu tambah air pada adunan apam yang diwarnakan kerana ia akan membuatkan corak yang dilorek mencair.
Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah