Resepi Mudah Puding Lumut Santan Guna Agar-Agar Tali
Bagi Mereka penggemar puding, boleh cuba resepi mudah ni Puding Lumut Santan. Kalau guna agar-agar tali rasa puding lebih kenyal ditambah pula dengan rasa lemak santan. Memang sedap! Berbaloi untuk dicuba.
Bahan A:
- 10gm agar-agar tali
- 2 1/2 cawan air
- 1/2 cawan gula
- 1 cawan santan sederhana pekat
- 3 helai daun pandan – simpul
- Secubit garam
Cara Membuat:
1. Masak agar-agar dengan air hingga larut agar-agar. Kemudian, masukkan gula dan kacau rata. Seterusnya, tuang santan dan daun pandan serta secubit garam.
2. Kacau semua bahan hingga sebati dan biarkan masak seketika. Tuang dalam loyang 8×8, biarkan sederhana beku.
Bahan B:
- 10gm agar-agar tali
- 1 1/2 cawan air
- 1/2 cawan gula
- 1 cawan santan sederhana pekat
- 1 cawan jus pandan (blend 6 helai daun pandan dengan 1 cawan air, tapiskan)
- 1 biji telur (pukul dulu)
- Secubit garam
- Sedikit pewarna hijau
- Sedikit esen vanilla – jika suka
Cara Membuat:
3. Masak agar-agar dengan air hingga larut agar-agar. Kemudian, masukkan gula dan kacau rata. Masukkan pula santan, jus pandan, telur, garam, esen vanilla dan pewarna hijau.
4. Kacau semua bahan sampai sebati dan biarkan ia mendidih membuak. Perlahankan api, biar ia masak hingga jadi ketulan lumut. Tutup api dan kacau lagi bagi pecahkan Lumut tadi menjadi halus.
5. Seterusnya, tuang perlahan-lahan atas puding yang putih tadi. Biarkan beku, boleh masukkan dalam peti sejuk. Boleh potong ikut suka dan sedia untuk dimakan.
Nota: Agar-agar tali tu yang 20gm, potong/gunting dua. Kalau agar-agar nak cepat larut bila masak, rendam dulu dalam 1/2 jam ke 1 jam.
Guna Loyang 8 Inci Macam Ni, Baru Hasil Potongan Puding Cantik >> KLIK DI SINI
Resepi Oleh: Zura Zul